Thursday, October 27, 2011

Tuan Syeikh Muhammad Sa'id Al-Linggi - Tokoh Ulama Silam


Al-marhum Tuan Syeikh Muhammad Sa’id bin Tuan Syeikh Jamaluddin al-Linggi , seorang ulama dan guru Tariqah Ahmadiah Idrissiah di Negeri Sembilan. Allahyarham kembali menemui Allah pada 12 Rabiulawal dalam usia 62.

Allahyarham Tuan Syeikh Muhammad Sa’id merupakan seorang guru pengembang Tariqah Ahmadiah Idrissiah, bukan sahaja di negerinya (Negeri Sembilan) tetapi di seluruh Malaysia termasuk juga beberapa buah negara di rantau ini seperti Indonesia, Pattani, Singapura dan Kampuchea.

(Tariqah Ahmadiah diasaskan oleh al-Sultan as-Salatin Tuan Syeikh Sayyid Ahmad bin Idris dan telah diperkembangkan amalannya melalui muridnya iaitu Tuan Syeikh Sayyid Ibrahim Ar-Rashid dan kemudian kepada murid beliau pula iaitu Tuan Syeikh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi.)

Ketokohan dan ketinggian ilmu Tuan Syeikh Muhammad Sa’id sebenarnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Masyarakat yang sezaman dengannya tahu mengenai itu semua. Malahan, kehebatan itu masih lagi disebut-sebut sampai ke hari ini, walaupun Allahyarham telah meninggalkan kita lebih setengah abad.

Sememangnya, Allahyarham bukan calang-calang orang. Dikatakan bahawa guru beliau tidak kurang 50 orang dan beliau juga pernah belajar agama di negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Makkah dan juga Madinah.

Ulama besar yang menjadi guru kepada Allahyarham adalah Tuan Syeikh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi iaitu murid kanan kepada Tuan Syeikh Sayyid Ibrahim al-Rashid yang berasal dari Sudan kemudian mangkat di Maa’la di Makkah. Tuan Syeikh Muhammad Sa’id telah menyambung bai’ah Tariqah Ahmadiah terus dari gurunya, iaitu Tuan Syeikh Muhammad ad-Dandarawi.

Dalam usahanya menyebarkan ajaran Islam dan Tariqah Ahmadiah Idrissiah, Almarhum telah memilih Ampangan Seremban sebagai pusatnya.

Sebagai seorang yang mengasihi Allah, merindui dan sentiasa menyintai Allah, melalui zikirnya, solatnya dan pada setiap gerak geri kehidupannya, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id dianugerahi Allah dengan bermacam-macam kelebihan dan keistimewaan.

Antara kelebihan dan keistimewaan yang terdapat pada Almarhum Tuan Syeikh Muhammad Sa’id ialah beberapa koramah. Misalnya beliau boleh menyelam dalam air seberapa lama yang beliau mahu, tanpa menggunakan bantuan oksigen dan sebagainya.

Pernah terjadi keganjilan ini dan disaksikan oleh orang ramai. Ketika itu beliau mahu menyeberang Sungai Kelantan tatkala di tebing sebelah bandar Kota Bharu. Kebetulan perahu (motor bot) yang hendak ditumpang itu penuh. Tuan empunya motor bot tidak membenarkan Allahyarham naik kerana takut karam apabila muatan terlebih.

Oleh yang demikian Allahyarham tidak jadi naik motor bot itu. Tuan empunya motor bot itu terus menghidupkan enjin dan mengemudikan motor botnya. Sesampai saja di tebing sebelah sana, alangkah terperanjat mereka melihat Sidi Syeikh Muhammad Sa’id telah pun berada di tebing itu. Rupa-rupanya sebaik sahaja motor bot itu bergerak, Sidi Syeikh Muhammad Sa’id terus terjun ke dalam sungai dan dalam sekelip mata saja beliau sudah berada di tebing sana tanpa dibasahi setitik air pun.

Satu lagi kelebihan Almarhum adalah bersahabat dengan buaya. Terdapat satu sungai di negeri Kedah yang tidak digunakan oleh sesiapa pun kerana buaya di dalam sungai itu sungguh garang. Suatu hari dalam perjalanan, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id merasa letih dan mahu mandi. Beliau berhajat untuk mandi di sungai itu tetapi dilarang oleh penduduk kampung tersebut. Namun kerana mahu mandi juga, Allahyarham tidak mempedulikan larangan itu. Beliau terus terjun ke dalam sungai itu dan beberapa ekor buaya yang dikatakan garang mengelilinginya. Digosoknya buaya itu seekor demi seekor. Orang kampung yang tadi cemas mula kehairanan dengan melihat kejadian itu.

Sememangnya Tuan Syeikh Muhammad Sa’id menpunyai banyak kisah-kisah koramah. Satu lagi kisah yang berlaku ke atasnya ialah ketika Allahyarham dan anak muridnya sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk berdakwah. Matahari saat itu sungguh terik, menjadikan semua ahli rombongan panas dan dahaga. Air yang hendak diminum sudah kehabisan. Salah seorang ahli rombongan itu ada membawa cerek kosong yang tidak berair.

Tiba-tiba Allahyarham mengambil cerek tersebut dan meminta ahli rombongan itu berhenti rehat untuk minum air. Masing-masing berasa hairan, dari mana guru mereka itu hendak mendapatkan air. Tetapi oleh kerana Allahyarham suruh berhenti, maka masing-masing pun berhenti. Allahyarham mengambil cerek kosong itu dan lantas menuangnya, dengan izin Allah keluar lah air dari cerek yang kosong itu, dan perkara ini telah disaksikan oleh semua ahli rombongan itu dengan hairan sambil seorang demi seorang minum dari cerek itu sehingga puas.

Selain dari dikurniakan oleh Allah beberapa kelebihan dan keistimewaan yang jarang didapati oleh orang lain, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id juga merupakan seorang dari ahli kashifeen, di mana beliau boleh mengetahui sesuatu yang ghaib.

Kebolehan Allahyarham ini terbukti bila suatu ketika, tiga orang pergi berjumpa dengan Tuan Syeikh Muhammad Sa’id untuk bertanya beberapa masalah. Kebetulan saat itu waktu Maghrib telah tiba. Tuan Syeikh Muhammad Sa’id terus menunaikan solat berjemaah bersama tiga orang pemuda itu.

Selepas berwirid dan berdoa, belum sempat tiga orang pemuda itu mengajukan pertanyaan, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id terus menjawab soalan-soalan yang hendak dikemukakan satu persatu. Mendengar penjelasan itu, ketiga orang pemuda itu kehairanan kerana Allahyarham tahu akan soalan dan masalahnya.

Demikianlah kelebihan ilmu yang Allah kurniakan kepada kekasihnya yang mengembangkan Tariqah Ahmadiah Idrissiah itu.

Walaupun Tuan Syeikh Muhammad Sa’id telah meninggal dunia lebih satu abad, tetapi segala ilmu yang diajar dan diturunkan kepada anak-anak muridnya terus berkembang dan diamalkan.

Berkat itu semua menyebabkan nama ulama itu masih segar dalam jiwa seluruh umat Islam di negara ini, apalagi kepada mereka yang mahu menghampirkan diri kepada Allah melalui jalan-jalan yang khusus seperti pengamalan amalan tariqah dan tasawwuf.

Kesinambungan ilmu Allahyarham diibaratkan seperti sungai yang terus mengalir. Dan terbukti, beberapa orang anak-anak Allahyarham serta cucu-cucunya telah mewarisi ilmu yang dimiliki beliau.

Boleh dikatakan semua anak-anak Allahyarham muncul sebagai ulama dan menjadi guru. Antara anak-anak Allahyarham yang turut menjejaki langkahnya ialah Tuan Syeikh Abdullah , Tuan Syeikh Ahmad (Mufti Negeri Sembilan yang pertama) , Tuan Syeikh Mansor , Tuan Syeikh Muhammad Nur ,Tuan Syeikh Mahdi , Tuan Syeikh Ibrahim, Tuan Syeikh Rashid dan Tuan Syeikh Hamid. Namun, kesemuanya telah meninggal dunia.

Kini, usaha dakwah, menyebarkan dan memimpin Tariqah Ahmadiah Idrissiah ini di sambung oleh cucu-cicit Almarhum Tuan Syeikh Muhammad Sa'id Al-Linggi...

Al-Fatihah...