Wednesday, October 26, 2011

Ustaz!!! Saya tak boleh masuk pejabat... badan saya terbakar!!!


Satu ketika dulu, saya pernah diminta oleh seorang wanita untuk "memagar" pejabat barunya di Cheras. Wanita tersebut adalah seorang yang agak berjaya dalam bidang perniagaan dan berkongsi syarikat barunya ini dengan teman lelakinya.

Menurut wanita tersebut, tiga bulan sebelum ini, bangunan itu pernah di sewa oleh sebuah syarikat, tetapi khabarnya ada pelbagai perkara-perkara pelik yang berlaku. Kadangkala terdengar bunyi perabut diseret di waktu malam, ada beberapa orang pekerja sebelum ini melihat lembaga budak-budak kecil berlari-lari di bilik stor yang gelap, namun apabila ditegur budak-budak tersebut hilang begitu saja. Ada juga beberapa kejadian pekerja kerasukan di bangunan tersebut.

Entah mengapa, pada mulanya saya agak berat hati untuk menunaikan permintaan wanita tersebut, namun oleh kerana wanita tersebut bersungguh-sungguh beberapa kali menelefon meminta bantuan saya, maka akhirnya saya bersetuju untuk "memagar" kawasan pejabat tersebut.

Saya memilih khamis malam jumaat untuk temujanji saya ke pejabat tersebut, setibanya saya di sana, kelihatan wanita tersebut dan teman lelakinya sudah menunggu saya di pintu masuk.

Tanpa melengahkan masa saya memulakan kerja-kerja "memagar", sambil berdoa dan memohon kepada Allah agar pejabat tersebut dilindungi dari sebarang gangguan atau kejahatan jin dan manusia. Bangunan pejabat tiga tingkat itu saya "pagarkan" setingkat demi setingkat. Apa yang saya dapati cuma sebuah bilik di tingkat dua dan bilik stor di tingkat tiga sahaja mengalami gangguan "ringan".

Tiada perkara-perkara yang pelik sepanjang proses "memagar" dijalankan. Setelah selesai, saya memohon diri untuk pulang. Wanita tersebut dan teman lelakinya juga beredar pulang.

Keesokan harinya, saya dihubungi oleh wanita tersebut. Dengan nada yang kelam kabut wanita tersebut mengadu, "Ustaz, kenapa ni ustaz? pagi ni, saya dan teman lelaki saya cuba masuk ke dalam pejabat, tiba-tiba saya rasa pijar satu badan, panas tak terhingga, saya rasa macam nak pengsan, teman lelaki saya juga tiba-tiba jadi panas baran, mendengus tidak tentu arah, tubuh badan rasa bagai dibakar.... apa ustaz dah buat pada pejabat kami?, kami tak boleh masuk dalam pejabat sendiri".

"Ehh... saya buat apa pulak pada pejabat kamu? bukan ke malam tadi saya dah "pagarkan" seluruh kawasan tu.., tak pe laa, biar saya scan tengok apa yang sebenarnya yang berlaku...", kata saya kepada wanita tersebut.

Inilah kali pertama terjadi dalam hidup saya, orang mintak "pagar" premis perniagaan, akhirnya tuan punya premis yang tak boleh masuk... Sambil memejamkan mata saya memohon petunjuk dari Allah s.w.t apa sebenarnya yang menghalang wanita tersebut dan teman lelakinya dari masuk ke pejabat... Tiba-tiba... perlahan-lahan kelihatan wajah wanita tersebut timbul dalam bayangan, dan wanita itu dikelilingi oleh beberapa ekor jin ular dan beruk yang membelit dan memaut tubuh badannya... "ooohhhhh!!!! patut la tak boleh masuk, ada jin sihir berpaut", bisik saya didalam hati.

Kemudian saya mengalihkan pula pandangan batin kepada teman lelaki wanita tersebut, sekaligus kelihatan bayangan manusia berbadan harimau, dan bermacam-macam lagi jenis jin pendamping yang melindungi tubuh lelaki tersebut...., "Errmmmm... ada jin pendamping, amalan salah, upah bomoh jadi bodyguard, patut laa terbakar masuk dalam pejabat sendiri yang saya dah pagar dengan "Pagar Kalimah Haq"..., saya mengomel sendirian...

Oleh kerana minggu tersebut saya ada urusan rawatan di Singapura, maka saya minta wanita tersebut bertemu dengan pelajar saya untuk mendapatkan rawatan. Syarat yang saya kenakan pada dia dan teman lelakinya adalah bertaubat dan buang semua amalan-amalan ilmu salah yang pernah diambilnya dahulu... moga-moga asbab dari kejadian itu mereka kembali ke jalan yang diredha Allah s.w.t dan tidak lagi mengamalkan amalan-amalan khurafat...