Friday, May 27, 2011

Jin Tutup Penglihatan Pesakit... Pusat Rawatan Tidak Kelihatan...



Saya rasa kisah ni saya dah ceritakan dulu, mungkin awal tahun lepas rasanya... tapi tak pe laa, pasal nak luahkan perasaan punya hal, saya cerita jugak laa sekali lagi dengan ayat yang lebih power sikit... :-)

Tidak dinafikan bahawa jin-jin gangguan yang mengganggu pesakit samada jin saka, jin pendamping, jin tumpang, jin asyik, jin sihir atau apa jugak jenis jin gangguan sekalipun, akan merasa tergugat dan terancam sekiranya pesakit bercadang untuk mendapatkan rawatan ataupun hendak bertemu perawat.

Kadangkala, apabila sebut saja nak pergi jumpa perawat, tiba-tiba pesakit akan merasakan pening kepala, sakit perut, ada yang sampai muntah-muntah, ada juga yang bila disebut saja nak pergi jumpa perawat, tiba-tiba emosi menjadi tidak stabil, tiba-tiba menjadi benci kepada perawat, tiba-tiba rasa malas sangat nak dapatkan rawatan...

Tidak kurang juga ada yang selalu tersesat jalan ke tempat rawatan, menempuh pelbagai dugaan dan halangan untuk bertemu perawat, kereta rosak tiba-tiba... Ada juga diantara pesakit yang dah lalu depan pusat rawatan, tapi tak nampak bangunan... bila turun saja dari kereta, baru nampak bangunan yang menempatkan pusat rawatan tersebut... Ada pesakit yang datang dari jauh, sejauh sepuluh jam perjalanan, semata-mata untuk berikhtiar mendapatkan kesembuhan melalui perawat yang mereka yakini...

Ini semua adalah cabaran-cabaran, halangan-halangan dan gangguan-gangguan yang dialami pesakit sewaktu bertemu perawat untuk mendapatkan rawatan. Tapi anda semua jangan risau, ini semua adalah susah payah ikhtiar anda untuk mendapatkan rawatan kerana mengharapkan kesembuhan dari Allah...

- Dari Abu Said r.a: Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya.

- Tidaklah seorang Muslim ditimpa oleh keletihan, atau kerisauan, atau kedukacitaan, atau penyakit, atau permasalahan walaupun kesakitan berupa tercucuk duri melainkan ini merupakan penebus kepada dosanya

(Hadith riwayat al-Bukhari & Muslim)

InsyaAllah... yakinlah bahawa Allah swt akan pandang setiap susah payah anda itu dengan pandangan rahmat dan semoga Allah swt akan menaikkan darjat anda semua diatas kesabaran anda untuk mendapatkan rawatan... Amin..

Saya sebagai perawat, saya faham masalah pesakit yang datang, adakalanya sukar nak jumpa lokasi pusat rawatan, jadi insyaAllah saya akan tunggu... kalau setakat lewat setengah jam tu saya boleh tunggu, kalau lewat sepuluh jam sekalipun insyaAllah saya akan tunggu, tapi dengan syarat... sekurang-kurangnya telefon atau sms saya... beritahu anda terlewat atau mungkin lewat... Jangan biarkan saya menunggu...menunggu dan terus menunggu...

Ada ramai lagi pesakit yang nak buat temujanji untuk mendapatkan rawatan, jadi sekiranya dah dapat temujanji rawatan, maka saya harap kita berpegang pada janji dan hargai peluang yang diberi... Ada pesakit yang dah buat temujanji pukul 8.30 malam.. tapi hanya muncul jam 10.45 malam... hinggakan beras dirumah saya dah habis pun saya tak sempat nak beli, semata-mata kerana nak menunggu pesakit ini... dah la tak telefon... tak sms... beritahu la terlewat ke, tersesat jalan ke... memang saja-saja lewat ke...

Dizaman yang serba moden ini, kita ada pelbagai kemudahan terutamanya telefon bimbit... kalau tak boleh telefon, kita boleh sms... tambah-tambah pula sekarang ni ada GPS... kalau tak de GPS tak pe... google map kan ada... taip jer alamat pusat rawatan di google map, survey dulu dimana lokasi pusat rawatan tersebut... jadi kita tak de buang masa... tak buang masa kita, tak buang masa perawat nak menunggu...

Saya tak marah... saya tak kisah pun kalau tak jadi datang... tapi sekurang-kurangnya sms saya semula beritahu... ada juga pesakit yang tak datang dan dengan selambanya diam begitu saja... ada juga yang berjanji datang jam 2.30 petang, pukul 3.00 petang baru nak sms saya beritahu dia tak dapat datang... tak pe laa... saya tak marah... kalau marah nanti kena jual... tapi tolong lah memahami bahawa saya juga ada urusan lain...

Tidak semua yang berperangai gaban sebegitu, hanya segelintir... namun yang segelintir inilah yang perlu saya tegur, sekiranya kamu tidak bersungguh hendak mendapatkan kesembuhan, jangan harap kesembuhan bersungguh-sungguh hendak mendapatkan kamu...

Saya hargai susah payah dan kepercayaan anda semua yang datang bertemu saya sebagai ikhtiar, semoga Allah swt memberikan kita semua kesembuhan pada setiap penyakit dan penyelesaian pada setiap masalah, dan semoga kita sentiasa didalam Redha dan Kasih Sayang Allah swt...

wassalam..

Friday, May 20, 2011

Amalan Lam Jalalah... Benteng Ampuh Menentang Gangguan Jin Dan Manusia...?


Bismillahirrahmanirrahim... Segala Puji bagi Allah swt dengan puji-pujian kesempurnaan, dan sesungguhnya Dia lah yang Maha Sempurna dan Dialah yang Memuji DiriNya Sendiri...

Kali ini saya nak berkongsi cerita dengan para pembaca sekelian tentang Ilmu Lam Jalalah... itupun, apa yang saya kongsikan ini hanyalah sekadar untuk kita memahami apa itu Ilmu Lam Jalalah secara ringkas... secara ringkas... secara ringkas... semoga yang ringkas ini dapat memberi manfaat pada "jauhari yang mengenal manikam".. :-)

Ramai diantara kita yang teruja dengan ilmu lam jalalah ini, mengapa? Kerana ianya di war-warkan sebagai ilmu hikmah yang sangat hebat, dan dikatakan kelebihan amalan lam jalalah ini adalah sebagai pagar diri yang ampuh dari dengki khianat manusia dan jin, benteng ampuh untuk mengelak dari perbuatan sihir, boleh digunakan untuk halimunan, dan ada juga yang mengamalkan nya untuk pelaris diri mahupun perniagaan. Walaubagaimanapun, mengikut pendapat "orang-orang lama" yang berilmu, khasiat amalan lam jalalah ini adalah bergantung kepada niat si pengamalnya.

Ada diantara pengamal ilmu kebatinan menggunakan amalan lam jalalah ini sebagai senjata untuk memusnahkan musuh samada dari jarak dekat ataupun dari jarak jauh. Adakah amalan ilmu lam jalalah ini lebih hebat berbanding amalan-amalan kebatinan yang lain seperti "senjata faqir" atau amalan "kipas nandung" dan lain-lain...? Pada pandangan saya ianya bergantung kepada pemahaman tentang apakah sebenarnya ilmu lam jalalah ini..

Untuk makluman para pembaca, amalan ilmu lam jalalah ini ada banyak versi, yang berlainan bacaannya dan berlainan ritualnya... Apakah yang hebat sangat tentang amalan lam jalalah ini..?Secara ringkasnya Lam Jalalah itu boleh kita katakan ianya berbentuk huruf Lam Alif. Jadi... adakah ianya semata-mata huruf...? Apa ada pada huruf...? Jangan kita lupa dengan huruf lah terbentuknya asma' (nama) dan dengan asma' lah terzahirnya qalam..

Kalau kita imbas kembali filem Nujum Pak Belalang, arahan Tan Sri P Ramlee... soalan untuk ahli nujum.. " dimanakah kekuatan Hang Tuah..? Di Tenaganya kah? atau di kerisnya kah?...

Kekuatan Dato Laksamana Hang Tuah ada pada huruf "Ta", Jikalau huruf "Ta" ditukar dengan huruf "Ba", maka sudah tentu Hang Tuah menjadi Hang Buah... tak macho langsung nama Hang Buah... :-) Betapa besarnya impak perubahan satu-satu huruf pada perkara yang dinamakan...

Apa yang perlu kita faham bahawa setiap huruf ada "energy" berbeza. Contohnya bacaan ayat-ayat Muqatta'aat seperti Alif Laam Miim, Kaaf Haa Ya 'Ain Sood, Ha Miim, 'Ain Siin Qoof dan lain-lain. Bacaan yang mengikut harkat tertentu, panjang dan pendek satu-satu huruf juga mempunyai rahsia-rahsia dan kekuatan yang tersendiri pada setiap huruf-huruf tersebut.

Bacaan ini mempunyai kekuatan dan "energy" nya yang tersendiri, sehinggakan apabila kita meruqyah pesakit dengan hanya membaca ayat-ayat muqatta'aat itu pun sudah cukup untuk menggegarkan jin gangguan didalam tubuh badan pesakit... Tapi jangan pula kita baca ruqyah nak shortcut sangat... bacalah ikut peraturan... :-)

Berbalik kepada kisah Ilmu Lam Jalalah tadi, walaupun amalan tersebut ada pelbagai versi yang berbeza dari segi amalan dan ritualnya, paling penting yang perlu kita faham, bahawa ilmu Lam Jalalah ini sebenarnya ada kaitan dengan rahsia insan, rahsia asal kejadian insan sejak dari sebelum alam benih lagi, ada kaitan dengan rahsia huruf-huruf hija'iyyah, ada kaitan dengan "energy" alam semesta, ada kaitan dengan rahsia Bismillah, dan macam-macam lagi...

Walaupun pada kebiasaannya amalan Lam Jalalah ini diamalkan untuk mengunci atau membenteng diri, perlu diketahui , Lam Jalalah ini ada "buka" dan "tutup"nya... oleh itu.. pada sesiapa yang mengetahui, maka ilmu kunci lam jalalah ini boleh dibuka.

Boleh dikatakan sebenarnya lambang Lam Jalalah ini memenuhi pada tubuh insan. Dan kesimpulannya Lam Jalalah ini ada pada diri tiap-tiap insan yang mengenal dirinya...

"Wa fi anfusikum afala tubsiruun" - Dan pada diri kamu, tidakkah kamu perhatikan... (adz-dzariyyat : 21)

Kerana itulah mereka-mereka yang 'arif billah mengatakan "Barangsiapa yang mengenal dirinya maka kenal lah dia akan Tuhannya"... Tuhan yang mana....? pilihan ditangan kita, samada hendak bertuhankan hawa nafsu, atau nak bertuhankan Allah swt...

Dan barangsiapa yang mengenal diri maka binasa lah ia... Mengapa binasa? Kerana dia akan mendapati sesungguhnya "La haula wala quwwata illa billah" "Tiada daya dan upaya melainkan dengan hanya izin Allah", Makhluk tidak memberi bekas... tidak memberi mudharat... tidak memberi manfaat... tidak memberi kesan.. tetapi semuanya semata-mata adalah dari Allah swt...

Cukuplah sampai disini dulu, diizin Allah saya akan sambung lagi topik Amalan Lam Jalalah ini...

wallahu'aq'lam...

Thursday, May 12, 2011

Sambungan Kisah... Aku Anak Angkat Pontianak..? (Part 2)



Bismillahirrahmanirrahim... Penat sungguh beberapa hari ni... cuaca yang panas dan kering membuatkan tubuh badan mudah berasa letih... Ditambah pula dengan keletihan kerana tugas-tugas merawat.. bukan sahaja fizikal letih.. dalaman juga terasa impaknya..

Dah lama saya tak bertarung dengan jin-jin sengal... maklum lah.. malas nak layan jin-jin gangguan yang sibuk nak berborak... jadi, sebelum-sebelum ni tak sempat jin nak bersuara saya dah cantas suruh keluar... tak sempat dia nak kelentong... saya dah sebat suruh keluar... Jadi takde peluang nak dapat cerita-cerita sensasi lagi dramatik...

Tapi tadi... saya berpeluang berdepan dengan jin sengal yang degil tak nak keluar... Dia tak nak keluar tak pe.. Bukan kuasa saya pun nak keluarkan jin... saya hanya berikhtiar... di izin Allah jin tu keluar.. maka keluar lah jin tu nanti....

Walaubagaimanapun, jin sengal bertanduk kambing gurun tu telah saya patahkan tanduknya... Jin tersebut menangis-nangis kerana selain dari tanduk nya telah saya patahkan, matanya telah dibutakan, kakinya juga telah saya patahkan dengan izin Allah... zalim tak..? ye... memang zalim... tapi ini salah satu cara saya nak ajar jin-jin samseng yang suka-suka hati nak duduk dalam manusia... yang degil tak nak keluar...

Biarkan dia seketika sebegitu... esok-esok dia dah insaf, insyaAllah saya akan rawat semula kecederaan-kecederaan yang dialami jin tersebut.. itupun tengok mood saya laa... Kalau siapa-siapa ada kemusykilan tentang perkara ini, sila bertanya terus kepada saya... Jangan tanya di kedai basikal pula ye...

Oowwhhh... ye.. kali ni saya bukan nak cerita pasal jin sengal tu... tapi saya nak sambung kembali kisah pertarungan saya dengan Pontianak... Ingat tak kisah pontianak tu mengugut saya, kemudian terus terbang keluar begitu saja, lalu pesakit pun sedar...

Begini sambungannya...

Setelah pesakit kembali sedar, saya memberi pesakit minum segelas air ruqyah, yakni air yang telah dibacakan dengan ayat-ayat suci Al-Quran, tiba-tiba pesakit muntah... muntah air... muntah buih... muntah air hitam... Inilah akibat perbuatan sihir... muntah yang keluar itu berbau sangat hanyir... Ini adalah salah satu tanda-tanda bahawa pesakit ini terkena sihir melalui makanan...

Kalau pesakit yang mengalami muntah-muntah sewaktu dirawat, tempat-tempat yang perlu kita tumpukan untuk bacaan ruqyah dan rawatan adalah di bahagian perut, dan kadangkala juga dibahagian dada... ianya bergantung kepada apakah jenis bahan-bahan sihir yang telah termakan oleh pesakit itu...

Mengapa sebelum ini timbul pontianak, sekarang timbul pula muntah-muntah akibat sihir..?

Untuk perhatian para pembaca dan para sahabat sekelian, perlu diingat, kadangkala gangguan-gangguan yang dialami pesakit berupa gangguan jin yang berlapis-lapis atau berkelompok-kelompok...

Mungkin kelompok yang pertama keluar adalah jin yang menumpang... Kemudian setelah jin menumpang keluar, kelompok jin sihir pula yang keluar... Tidak semestinya semua kes-kes gangguan jin akan keluar berperingkat sebegini, tetapi beginilah kebiasaannya..

Setelah, jin-jin sihir berjaya dikeluarkan dengan izin Allah, saya cuba untuk menjejaki kembali pontianak tadi, kelihatan dalam pandangan rohani pontianak tersebut berlegar-legar terbang, seolah-olah sedang menunggu peluang untuk menyerang saya..

Tiba-tiba pontianak tersebut memintas dihadapan saya dan cuba menyerang saya... anehnya terkaman pontianak itu seolah-olah terhenti dihadapan saya dan melantun kembali ke belakang... Saya mengambil peluang ini untuk menyerang pontianak tersebut kembali... namun sekali lagi perkara pelik berlaku... serangan saya tidak dapat mengenai pontianak tersebut... Pelik... Pontianak itu tidak dapat menyerang saya, dan saya juga tidak dapat menyerang pontianak tersebut...apakah hikmah disebalik peristiwa ini..?

Bingung dengan keadaan ini saya bertafakur sebentar, memohon petunjuk dari Allah swt...

Tiba-tiba saya teringatkan satu teknik berkomunikasi dengan jin... iaitu teknik tawaran... fuuuhhhh... macam beli barang kat pasar malam laa pulak ada tawaran-tawaran...

Dengan tidak berlengah lagi saya memanggil pontianak tersebut berdepan dengan saya dan ajak dia berbincang dengan cara yang berhemah... Saya minta pontianak tersebut melepaskan pesakit yang dia anggap sebagai anak angkatnya itu, dan sebagai ganti, saya tawarkan padanya bahawa saya akan memohon kepada Allah agar pontianak tersebut dikurniakan anak angkat yang cantik dan baik tetapi dari kalangan bangsa jin.

Pontianak tersebut bersetuju... Maka saya pun berdoa kepada Allah swt agar mendatangkan jin perempuan yang cantik dan baik untuk dijadikan anak angkat kepada pontianak tersebut... Syukur ke hadrat Allah, selesai sahaja saya berdoa dan mengikhtiarkan teknik-teknik tertentu, Allah swt mendatangkan jin perempuan dihadapan pontianak tersebut, dan setelah ia berjanji untuk pergi buat selama-lamanya. pontianak itu pun terbang keluar bersama-sama dengan anak angkatnya yang baru dari golongan bangsa jin.

Alhamdulillah... buat penat je bertarung bersungguh-sungguh, rupa-rupanya hanya berkomunikasi dengan cara yang betul dengan izin Allah pontianak tersebut keluar dan tidak mengganggu pesakit lagi.. Tamat lah kisah pertarungan saya dengan jin pontianak ini...

Kisah ini tiada kena mengena dengan mereka-mereka yang jumud dan berfikiran sempit, sekiranya ada kemusykilan sila bertanya saya terus, dan jangan buat andaian sendiri... :-)Wassalam...

Monday, May 9, 2011

Aku Anak Angkat Pontianak...? (Part 1)


Bismillahirrahmanirrahim... Syukur ke hadrat Allah swt, dengan limpah Kasih Sayang dan KurniaNya yang tidak pernah putus2, yang masih memberi saya rezeki untuk bernafas dan meneruskan nikmat-nikmat kehidupan dalam sisa-sisa umur saya yang tidak saya ketahui masih berbaki berapa hembusan nafas lagi...

Semoga setiap degup jantung ini didalam pengampunan Allah, Semoga setiap kerlipan mata ini didalam rahmat dan redho Allah, Semoga setiap gerak dan diam, tidur dan jaga, malahan setiap zarah kehidupan kita ini sentiasa didalam petunjuk dan hidayah Allah swt.

Melihat kepada tajuk posting saya kali ini saja sudah boleh menimbulkan kegemparan jika kisah ini disiarkan di akhbar Utusan Meloya dan Berita Hairan, walaupun berkemungkinan tidak dapat menandingi berita-berita yang sengaja di sensasikan untuk rakyat Malaysia pada akhir-akhir ini... Namun inilah realitinya, kali ini saya ingin berkongsi kisah pengalaman saya merawat pesakit yang menjadi anak angkat kepada Pontianak atau nama glamour nya "Kak Pon"...?

Para pembaca kenal akan Pontianak? Biasa mendengar kisah tentang Pontianak? Atau biasa berjumpa dengan Pontianak? Atau biasa berbual-bual dengan Pontianak? :-)

Pontianak ni suka sangat tergelak-gelak...tergelak-gelak... mengilai-ngilai... itu je laa kerja nya... apa yang kelakar sangat saya pun tak tahu... pada kebiasaannya hilai tawa pontianak ini boleh membuatkan tubuh badan mereka yang mendengarnya menjadi kaku tidak boleh bergerak, longlai dan lemah lutut kerana terlalu takut...

Satu ketika dulu saya didatangi oleh seorang gadis yang mengesyaki dirinya terkena perbuatan sihir. Dia mengadu selalu mengalami lebam-lebam dibahagian peha dan kaki, selalu berasa tubuh badannya kebas terutamanya selepas waktu 'asar sehingga waktu isya'. Beliau juga selalu mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan seperti dikejar binatang buas, di cekik hantu, bermimpi jatuh dari tempat tinggi.

Beliau juga kerap terkejut-kejut dan tersentak secara tiba-tiba semasa tidur malam. Yang menariknya, beliau selalu didatangi oleh seorang wanita berambut panjang sewaktu beliau berada didalam keadaan antara tidur dan jaga di malam hari, dan wanita itu selalu membelai-belai rambutnya.

Setelah bertanyakan serba sedikit berkenaan dengan masalah beliau, seperti biasa saya memulakan rawatan dengan bacaan ayat membenteng diri dan berdoa kepada Allah swt semoga dipermudahkan segala urusan sewaktu merawat... saya juga minta pesakit turut sama berdoa agar Allah swt mengeluarkan semua penyakit-penyakit zahir dan batin, rohani dan jasmani, berdoa semoga Allah swt mengeluarkan segala gangguan-gangguan jin dan syaitan pada tubuh badan pesakit.

Ini adalah penting kerana secara tidak langsung saya ingin mendidik pesakit agar sentiasa meletakkan pergantungan mutlak kepada Allah swt. Jangan bersandar dan "berpaut" pada perawat, kerana perawat hanyalah berikhtiar membantu merawat dan kesembuhan adalah mutlak milik Allah swt.

Sewaktu saya membaca surah Al-Baqarah ayat 255... (haaaaa... cuba teka ayat apa ni..? ayat apa ni...? errmmm.... Ayat Qursi laaa...), tiba-tiba pesakit tumbang dan terbaring ke lantai sambil ketawa mengilai-ngilai... rupa-rupanya itulah pontianak yang berupa perempuan berambut panjang yang membelai-belai rambut pesakit sebelum ini.

Saya cuba berinteraksi dengan pontianak tersebut bertanyakan mengapa dia mengganggu pesakit..?

Saya : Mengapa kau ganggu pesakit ni..?

Pontianak : Aku tak ganggu... ini anak aku..

Saya : Bila pulak kau kawin dengan bapak budak ni?

Pontianak : Ini anak angkat aku laa... aku tinggal kat bilik rumah makcik dia... budak ni selalu datang rumah makcik dia... aku berkenan dengan budak ni...

Rupa-rupanya pontianak ni adalah jin luar yang tidak ada kena mengena dengan jin sihir... sebelum-sebelum ni saya ingatkan jin sihir dah cukup ganas... setelah saya berdepan dengan pontianak ni, tahulah saya jin-jin di luar sana ada yang jauh lebih ganas dari jin-jin sihir...

Saya berinteraksi lagi dengan pontianak tersebut...

Saya : Kau tak boleh ambik dia jadi anak angkat, pasal engkau tu jin, dia ni manusia...

Pontianak : Aku tak kira... aku nak juga... aku tak peduli... aku sayang budak ni...

Saya : Kalau kau tak nak lepaskan budak ni aku terpaksa guna kekerasan...

Pontianak : Aku tak takut dengan kau... kau tak dapat apa-apakan aku...

Setelah saya merasakan tidak ada tanda-tanda pontianak ini akan mengalah maka saya terus menikam pontianak tersebut bertubi-tubi dibahagian kakinya... namun dia masih tidak mahu mengalah... kedua tangannya mencengkam tangan saya seolah-olah hendak membenamkan kukunya yang panjang ke tangan saya... walaupun kukunya yang panjang itu tidak dapat menembusi tangan saya, namun cengkaman tersebut agak menyakitkan sehingga meninggalkan kesan kuku di tangan saya.

Pontianak tersebut tidak mahu mengalah dan tidak berputus asa, dia cuba menyerang saya lagi. Dengan tidak membuang masa saya tikam pontianak tersebut dengan niat ingin membunuhnya... tikaman demi tikaman yang saya lakukan tetapi pontianak itu tidak mati, walaupun ia mengalami kecederaan yang agak parah...

Ooowwhhh... hampir saya terlupa... untuk makluman para pembaca, pontianak ni juga tak mati kena jurus ye... bukan apa... saya khuatir nanti ada yang mengata belakang-belakang pulak.. :-)

Walaupun sebelum-sebelum ini saya pernah bertarung dengan spesis pontianak, namun inilah kali pertama saya berdepan dengan pontianak yang sangat ganas dan kuat. Di siksa tidak mengalah, ditikam tidak mati... apa rahsia pontianak ini agaknya..?

Tiba-tiba pontianak tersebut menjerit kepada saya sambil berkata; "Tak mengapa... tak mengapa... kau tunggu lah nanti... kau pun ada hari lemah kau... kau pun ada hari lemah kau..., ketika itu kau tunggu laa.. aku akan melakukan pembalasan pada kau..., aku juga tidak akan lepaskan budak ni, budak ini milik aku...!!!!".

Perrgghhhhh... main ugut-ugut laa pulak pontianak ni... selesai saja pontianak itu mengugut saya, ia terus terbang dan keluar dari tubuh pesakit... tiba-tiba pesakit kembali sedar...

Apa yang terjadi selepas itu...? Sama-samalah kita nantikan sambungannya di posting yang akan datang...

Bersambung....

Tuesday, May 3, 2011

Merawat Gangguan Jin & Sihir Dengan Ilmu Tenaga Dalam...



Bismillahirrahmanirahim... Syukur kehadrat Allah swt dengan limpah kurnianya saya masih mampu untuk berkongsi idea dan luahan rasa di blog ini. Kali ini saya cuba mengupas persoalan tentang ilmu tenaga dalam dan ilmu kebatinan didalam masyarakat melayu.

Secara asasnya apa pun ilmu yang ada di dunia ini akan terbahagi kepada dua iaitu jalan yang kanan atau jalan yang kiri, maksud saya ilmu tersebut akan terbahagi samada ilmu baik atau ilmu jahat.... Walaubagaimanapun, bukanlah ini bermakna saya setuju dengan kaedah-kaedah "matlamat menghalalkan cara". Kerana Allah swt tidak menjadikan penawar dan penyembuh itu dari benda-benda yang haram.

Ilmu tenaga dalam ini telah ada sejak dulu lagi, tidak kira samada seseorang itu beragama islam atau tidak. Semua manusia berkemampuan memiliki ilmu tenaga dalam. Ianya adalah satu tenaga luarbiasa yang terpendam didalam diri manusia dan kebiasaannya akan terzahir apabila keadaan memaksa.

Saya beri satu contoh, adakah tuan-tuan berpengalaman di kejar anjing? Oleh kerana ketakutan yang amat sangat akibat dikejar anjing, longkang yang besar, yang pada kebiasaannya tidak dapat dilepasi dengan lompatan pun kita boleh lompat dan melepasinya... kalau selalunya kita baru berlari-lari anak tak sampai 100 meter pun dah tak tahan tercungap-cungap... tetapi disebabkan ketakutan kerana dikejar anjing, kita berlari dengan sangat laju berkemungkinan boleh memecahkan rekod 100 meter sukan kebangsaan... :-)

Dari mana datangnya tenaga yang luarbiasa tadi? Itulah tenaga luarbiasa yang selama ini terpendam didalam diri manusia dan akan terzahir apabila keadaan memaksa. Dan penuntut-penuntut ilmu tenaga dalam mempelajari dan berlatih ilmu tenaga dalam ini agar tenaga yang luarbiasa itu dapat dizahirkan dan digunakan pada bila-bila masa walaupun didalam keadaan yang tidak terdesak.

Kerana itulah adakalanya kita dapat melihat pertunjukkan-pertunjukkan hebat mereka seperti berjalan di atas bara api, berbaring diatas paku, makan mentol kaca dan pelbagai lagi perkara-perkara yang mencarik adat.

Ada juga diantara mereka ini dapat membengkokkan sudu besi hanya dengan renungan mata... hebat bukan..? Tetapi... sekiranya hati mereka turut sama bengkok disebabkan ria', takabbur dan 'ujub adakah mereka berupaya meluruskan hati mereka kembali...? renung-renungkanlah...

Adakah ilmu tenaga dalam ini melanggar hukum syara'...? ilmu itu tidak salah, yang membezakan samada ianya salah atau tidak adalah ritual dan tujuan menggunakan tenaga dalam tersebut.

Bagaimana hendak kita pastikan ianya salah di sisi hukum syara' atau tidak...? Untuk mengetahuinya maka kita perlu mempunyai ilmu untuk membezakan samada ianya adalah ilmu yang haq ataupun yang bathil, yang diredha Allah swt ataupun tidak, yang mengundang kehadiran jin pendamping atau tidak...

Dengan ilmu dan dengan mempelajari ilmu tersebut baru boleh kita jatuhkan hukum. Tidak boleh kita pukul rata, sebagaimana mereka-mereka yang jumud dan berfikiran sempit memberikan pendapat, dengan mengatakan semua ilmu tenaga dalam adalah salah dan sesat.

Manusia itu selalunya memusuhi apa yang dia tidak tahu...

Saya tidak menafikan, memang banyak ilmu-ilmu sebegini yang mengundang kehadiran jin pendamping dan akhirnya memudharatkan si pengamalnya, bukan itu saja, malahan saya pernah bertemu dengan pesakit yang mengikuti "kursus minda jutawan", kononnya mempelajari teknik bagaimana ingin menjadi jutawan. Apa yang diajar didalam kursus tersebut termasuklah teknik-teknik tenaga dalam reiki yang mengundang jin pendamping. Bila saya rawat pesakit ini maka terbongkarlah rahsia jin-jin kuasa minda jutawan mereka.

Pengamal-pengamal reiki jangan marah saya ya.. saya tak kata semua pengamal reiki, tapi kebanyakan mereka yang mengamalkan reiki bila kita rawat mereka, kita dapati adanya jin-jin pendamping asbab dari ritual-ritual reiki yang mereka amalkan. Wallahu'aq'lam.

Kesimpulannya para pembaca sekelian, mempelajari ilmu tenaga dalam ini juga adalah salah satu dari ikhtiar kita untuk sukses didalam kerjaya dan kehidupan seharian kita, ianya juga sebagai benteng untuk menghindari gangguan jin dan serangan-serangan sihir. Mempelajari tenaga dalam juga membolehkan kita membantu merawat diri dan orang lain apabila mengalami masalah-masalah yang berkaitan dengan mental, emosional, spiritual dan tidak mustahil juga sebagai kaedah rawatan untuk membantu merawat penyakit-penyakit fizikal.

Untuk makluman para pembaca, didalam Kursus Perawat Advanced yang saya anjurkan, teknik-teknik memantapkan tenaga dalam dan penggunaannya untuk rawatan ada saya kongsikan didalam kursus tersebut. Bagi mereka yang berminat sila hubungi saya untuk maklumat lanjut.

Sunday, May 1, 2011

Masalah Anak Nakal Dan Degil - Adakah Ini Gangguan Jin..?

Bismillahirahmanirrahim.. Segala Puji bagi Allah swt dengan limpah kurniaNya kesihatan saya hampir pulih. Kursus Perawat Intensif (personal guide) pada 30hb April dapat disampaikan dengan lancar, begitu juga dengan Kursus Urut Tradisional yang berlangsung pada hari ini, 1hb Mei. Pada awalnya kursus-kursus ini hampir dibatalkan kerana memikirkan saya berkemungkinan tidak dapat menyampaikannya oleh kerana kesihatan saya yang kurang memuaskan. Inilah yang dikatakan, wamakaru wamakarallah, wallahu khairul makiriin, " mereka merancang, dan Allah juga Merancang, Sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang".

Sebagaimana yang selalu saya sebut, masalah pada manusia ini saya bahagikan kepada empat elemen, iaitu Fizikal, Mental, Emosional dan Spiritual. Ada ramai ibu bapa yang datang bertemu dengan saya untuk mengikhtiarkan masalah anak-anak mereka yang degil dan tidak mendengar cakap. Adakah mereka ini mengalami gangguan jin..? Dalam pengalaman saya merawat anak-anak yang nakal dan degil ini, memang benar adanya gangguan-gangguan jin pada mereka. Namun apakah itu semua punca permasalahan?

Kalau hendak diikutkan yang sebenar-benarnya, mentarbiah anak-anak ini bermula seawal dari sewaktu suami isteri "bersama" lagi. Bacaan doa dan adab-adab sewaktu "bersama", serta mengikut tarikh dan waktu yang digalakkan, dan mengelakkan tarikh-tarikh dan waktu yang di larang oleh ulama'-ulama' mu'tabar. Perkara-perkara ini semua membantu kita dalam berikhtiar untuk mendapat anak-anak yang soleh dan solehah yang menjadi penyejuk mata dan hati kita.

Ada bermacam-macam kes anak nakal yang saya rawat, diantaranya satu kes di mana anak ini mengalami masalah tabiat mencuri dari kecil lagi, dan apabila anak itu dirawat, apa yang saya dapati, berpuluh-puluh ekor jin berada didalam tubuh badannya. Jadi... adakah kesalahan mencuri itu kita letakkan pada golongan jin tersebut? Cuba kita fikirkan sejenak...

Ada diantara kes anak yang sangat nakal dan degil, padahal umurnya baru mencecah lima tahun, bila saya rawat apa yang saya dapati memang ada gangguan jin yang mendampingi anak ini. Jadi.. setelah jin tersebut dikeluarkan dengan izin Allah, adakah masalah kenakalan dan kedegilannya selesai? Tidak semestinya... Tidak semestinya... Tidak semestinya...

Ada juga kes anak nakal yang saya rawat, tetapi tiada masalah gangguan jin padanya, tetapi bila saya mengajukan soalan demi soalan pada ibu dan bapa anak itu, apa yang saya dapati sumber pendapatan mereka adalah dari sumber yang syubhah (meragukan) dan ada juga dari sumber yang haram... Kesan dari sumber pendapatan yang syubhah dan haram ini anak-anak boleh menjadi nakal, degil, tidak cerdik dan mengalami kesukaran untuk mengaji Al-Quran serta bermasalah didalam pelajaran.

Pada pandangan saya, untuk menangani masalah anak-anak nakal dan degil ini, kita perlu mulakan sejak dari mereka kecil lagi, kasih sayang, ketegasan, disiplin perlu diterapkan pada jiwa anak-anak ini, supaya apabila mereka sudah meningkat remaja, kita tidak kekok untuk menegur mereka.

Jika anda bersama keluarga bertandang ke rumah orang lain, anak-anak anda tidak menjaga adab dan kelakuan di rumah orang, menyentuh dan mengusik barang-barang di rumah orang, membuka peti sejuk, mengambil makanan sesuka hati, memanjat sofa, melompat-lompat dan membuat bising.... apakah yang anda lakukan...? adakah anda akan teruskan berborak dengan tuan rumah dan membiarkan sahaja kenakalan anak anda...?

Tahukah anda bahawa sebenarnya hati tuan rumah tersebut tidak tenteram melihat kenakalan anak-anak anda mengusik barang-barang di rumahnya walaupun kelihatan dia tersenyum sambil berborak dengan anda..? adakah anda prihatin terhadap perkara ini?

Kalau perkara sekecil ini anda tidak prihatin, kalau perkara sekecil ini anda tidak dapat kawal, maka tidak mustahil lah satu hari nanti kenakalan dan kedegilan mereka ini akan mendatangkan musibah kepada anda...

Kesimpulannya para pembaca sekelian, kita sebagai ibu bapa perlu bijak dalam mendisiplinkan anak-anak kita, adakalanya memang kita beri mereka "gula-gula", tunjukkan kasih sayang, lemah lembut dan membiarkan mereka untuk meneroka alam kanak-kanak mereka dengan sedikit kenakalan, itu tidak mengapa... tetapi kita juga harus berani memberi mereka "ubat pahit", menegur dan memarahi mereka supaya mereka mengerti tentang erti "batas".

Jangan lupa untuk didik mereka dengan agama, solat, mengaji Al-Quran dan sebagainya, agar jiwa mereka di sinari cahaya agama, ajar mereka doa-doa membenteng diri dari kejahatan jin dan syaitan, ajar mereka tentang dosa pahala, selalu doakan mereka agar menjadi anak yang soleh.

Ada diantara ibu bapa yang mengabaikan solat, tidak cenderung kepada agama, berpakaian tidak menutup aurat dan mencorakkan suasana keluarga mereka dengan corak-corak yang melanggar hukum Allah. Inilah yang menjadi punca yang merosakkan jiwa dan akhlak anak-anak. Ibu bapa perlu solat dulu sebelum menyuruh anak mereka solat, ibu bapa perlu berakhlak mulia dulu sebelum mendidik anak-anak mereka agar berakhlak mulia.

Setelah membebel dengan panjang lebar, maka di sini saya kongsikan sedikit amalan untuk masalah anak yang degil, ayat ini juga dikatakan ayat selusuh (ayat untuk memudahkan kelahiran bayi), dibaca tujuh kali pada air, minyak, madu lebah atau makanan berikan pada anak-anak, dengan niat dan doa agar Allah lembutkan hati anak-anak dan menghilangkan kenakalan dan kedegilan mereka.

Ayat ini adalah dari Surah An-Nahl : 78