Saturday, August 20, 2011

Kursus Rawatan Islam - 15hb & 16hb Oktober, Di Bekenu, Miri, Sarawak


KURSUS TELAH SELESAI

Bismillahirrahmanirrahim, segala puji bagi Allah swt yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak, dengan izin dan limpah kurniaNya Kursus Rawatan Islam – Perawat Intensif - Mengatasi Masalah Sihir & Gangguan Jin akan diadakan di Bekenu, Miri, Sarawak pada 15hb dan 16hb October 2011 (Sabtu dan Ahad).

Kursus Perawat Intensif bermaksud : Kursus untuk “Merawat Diri Sendiri”, “Merawat Ahli Keluarga” dan juga “Merawat Orang Awam (menjadi perawat)”

Sila hubungi segera untuk pendaftaran awal kerana penyertaan adalah terhad:

Ustaz Idham – 013 7850311

Ustaz Idris – 019 8878414

Ustaz Azrin Abdul Karim – 013 3239822

Tajuk : Kursus / Seminar Rawatan Islam (Perawat Intensif – Mengatasi Masalah Sihir & Gangguan Jin)

*Fasilitator : Ustaz Azrin Bin Abdul Karim

*Tarikh: 15hb & 16hb Oktober 2011 (Sabtu & Ahad)

* Masa: 7.30 pagi sehingga 5.00 petang

* Tempat: Masjid Al-Muttaqin, Bekenu ( Miri), Sarawak

* Yuran Penyertaan: RM 200.00

(Sila Bankin kan RM50 ke akaun CIMB 1416 006 1959 523 atas nama Azrin Abdul Karim sebagai yuran pendahuluan untuk pengesahan kehadiran, kemudian sms kan nama penuh serta maklumat pembayaran - sila simpan slip transaksi perbankan sebagai rujukan nanti. Baki yuran boleh dibayar semasa menghadiri kursus nanti)

Kursus Rawatan Islam Untuk Diri Dan Keluarga ini diadakan dengan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang awam tentang jenis-jenis gangguan, tanda-tanda dan cara-cara untuk menangani masalah-masalah spiritual yang berkaitan dengan gangguan jin.

Peserta akan diberi pendedahan tentang amalan-amalan ahli sihir, amalan-amalan khurafat dan juga amalan-amalan yang berselindung disebalik label Islam tetapi tanpa disedari boleh mengundang kehadiran jin yang akhirnya menjadi jin saka yang mengganggu diri, keluarga dan keturunan akan datang.

Peserta akan di ajar cara-cara merawat bermula dari langkah-langkah asas sehinggalah kepada teknik-teknik ketika merawat dan akhirnya kaedah-kaedah penutup rawatan.

DIANTARA PERKARA-PERKARA YANG AKAN DIBENTANGKAN ….

Pengenalan Alam Jin dan amalan ahli sihir

Jenis-jenis gangguan Jin dan Sihir
Tanda-tanda gangguan
Rawatan Ruqyah Syar’iyyah sebagai ikhtiar

Teknik-teknik rawatan seperti :

- Teknik merawat paling asas

- Teknik merawat diri sendiri

- Teknik merawat untuk mereka yang berminat menjadi perawat

- Mengesan (scanning) gangguan pada pesakit
- Teknik-teknik Ruqyah

- Ibu Ruqyah
- Teknik-teknik berdialog dengan jin
- Teknik menarik bisa gangguan atau menarik jin
- Teknik memasung dan mengunci pergerakan jin
- Teknik-teknik serangan keatas jin dan ahli sihir
- Teknik memagar rumah / kedai / sekolah dari gangguan jin
- Teknik menyediakan bahan-bahan rawatan

- Dan lain-lain lagi

Amalan Perlindungan Diri :

- amalan-amalan perlindungan diri warisan ulama’ silam
- rahsia zikirullah
- amalan pernafasan untuk membenteng diri
- Pengijazahan amalan

Sunday, August 14, 2011

Akhirnya Rahsia Hantu Pocong Terbongkar... (Pocong Part 2)


Apakah kesudahan kisah pocong hitam yang tidak mati dan tidak terkesan dengan serangan saya terhadapnya? Apakah kesaktian yang dimiliki oleh pocong hitam tersebut hinggakan ia tidak mengalami apa-apa kecederaan, sedangkan pocong putih terbakar hangus dan akhir nya mati.. ikutilah sambungan kisah seterusnya...

Pocong putih sudah mati, tetapi pocong hitam masih ada lagi… Hati saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pocong berbalut kain hitam ini, dari tadi dia seolah-olah tidak terkesan dengan serangan-serangan yang saya lakukan…

Lantas saya membaca surah Al Hasyr sambil meletakkan tangan kanan saya di kepala Johan. Sekali lagi Johan bangun, kali ini Johan bangun sambil tersenyum angkuh…

Sekali lagi saya membaca “ayat pedang”, sambil memohon kepada Allah agar kurniakan saya “energy” pedang zulfiqar, pedang Saidina ‘Ali Karamallahu wajhah. Dengan izin Allah, saya pancung leher pocong hitam tersebut. Sekali tebas.. dua kali tebas… tiga kali tebas… zasss… zasss… zassss… bersinar-sinar cahaya pedang merentasi leher pocong tersebut. “Arrrggghhhhhhhhhh!!!!!”, pocong itu bertempik kesakitan, serentak dengan itu Johan tumbang sambil terjelir lidahnya.

Belum sempat saya mengucap kesyukuran, tiba-tiba pocong hitam tersebut bangun semula sambil ketawa dan terus ketawa. Rupa-rupanya pocong hitam itu tidak mati, kesan tebasan pedang di lehernya juga bercantum semula…

MasyaAllah!!!... ilmu apakah yang ada pada pocong hitam ini menyebabkan dia boleh hidup semula…

Saya biarkan saja seketika pocong itu tertawa kegembiraan, mungkin dia merasakan bahawa dia telah mengalahkan saya. Saya bertenang sebentar dan memohon petunjuk dari Allah. Tiba-tiba, dalam kebuntuan tersebut tersingkaplah rahsia di sebalik kegagahan pocong itu, kelihatan rupa-rupanya nyawa pocong hitam itu telah disimpan oleh tuannya. Patutlah ia tidak mati-mati.

Dengan izin Allah, saya tarik nyawa pocong hitam itu yang tersimpan pada tuannya, kemudian saya cantumkannya kembali bersama-sama dengan pocong tersebut. Tiba-tiba pocong hitam menangis dan terus menangis. Ia menangis kerana rahsianya sudah terbongkar. Nyawanya yang telah saya cantumkan kembali, insyaAllah akan memudahkan saya untuk menamatkan riwayatnya.

Tanpa membuang masa lagi, saya mengeluarkan “energy” pedang zulfiqar dari celah-celah tangan saya, dan sekali lagi saya menghayunkan “pedang” ke arah pocong tersebut. Kali ini pocong hitam itu tewas, Johan terpelanting ke belakang lalu rebah. Perlahan-lahan Johan membuka matanya dan beristighfar terus menerus. Setelah keadaan agak tenang, baru Johan bersuara mengucapkan terima kasih. Beliau telah sedar sepenuhnya…

Sambil bersandar di sofa, saya memejamkan mata mengucapkan syukur ke hadrat Allah swt... tiba-tiba pandangan mata hati saya terarah ke luar rumah Imran. Kelihatan begitu ramai jin-jin dalam bentuk rupa yang mengerikan sedang berkumpul di luar rumah, seolah-olah mengintai peluang untuk masuk ke dalam....

Oleh kerana saya tidak mahu Imran dan keluarganya panik, saya hanya merahsiakan saja hal ini, namun dalam diam-diam saya pagarkan keliling rumah Imran dengan tembok setinggi tujuh petala langit dan sedalam tujuh petala bumi.. InsyaAllah moga-moga dengan ikhtiar saya ini jin-jin diluar sana tidak dapat masuk ke dalam rumah Imran... Cuma pada firasat saya, selepas ini berkemungkinan saya akan datang lagi untuk "bertarung" dengan jin-jin lain yang sentiasa memantau keluarga Imran... Moga-moga Allah melindungi Imran sekeluarga..

Hasbiyallahu la ilaha illa Huwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa robbul 'arsyil 'azim

Wednesday, August 10, 2011

Pocong Sorok Nyawa...Dipancung Tidak Mati... Part 1


Jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi, saya masih tidak dapat melelapkan mata, entah mengapa sejak dari tadi hati ini agak resah dan gelisah. Petanda apakah ini…? Adakah ini berkemungkinan ada serangan-serangan dari golongan jin yang berdendam…? Puas berpusing ke kanan dan ke kiri namun mata ini masih segar macam baru lepas minum kopi cap kapal api..

Tiba-tiba telefon bimbit saya berdering… nombor yang tertera tidak saya kenali… saya mengerling jam di dinding, “sudah pukul 2.30 pagi, siapa pula yang menelefon pagi-pagi buta ni..?” bisik hati saya…
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya menjawab telefon, harapan saya moga-moga tidak ada perkhabaran yang memeranjatkan di pagi yang hening ini...

“Assalamu’alaikum”, saya memulakan percakapan.“Wa’alaikum salam ustaz, nama saya Imran dari Selayang, minta maaf kerana terpaksa hubungi ustaz waktu begini, saya mohon bantuan ustaz kerana adik lelaki saya sedang kerasukan, dari tadi adik saya tidak sedarkan diri, bercakap dan ketawa sendirian tanpa sebab”, kata Imran.

Serba salah saya di buatnya, waktu-waktu beginilah waktu yang kritikal bagi seorang perawat, macam doktor “on call” la pulak… Nak cakap “tak boleh”, tak sampai hati, kalau datang tolong tak dapat nak jangka pukul berapa boleh habis nanti…

Tak mengapa lah, oleh kerana dah memang tugas, tambahan pula saya dah jawab panggilan tersebut, maka saya mengambil keputusan untuk datang membantu…

Sampai saya di rumah Imran, kelihatan adiknya sedang tidur sambil berdengkur. Terkeliru saya sebentar, adakah ini manusia yang tidur atau jin yang sedang tidur..

“Ini adik saya ustaz, namanya Johan, dia tahu kami panggil ustaz datang terus dia tidur”, kata Imran sambil cuba mengejutkan adiknya.

“Bangun Johan, bangun…”, beberapa kali Imran memanggil nama adiknya, namun Johan masih membatukan diri, sambil berdengkur.

Sambil memejamkan mata, saya cuba menelurusi ke dalam diri Johan melalui pandangan mata hati, kelihatan dua ekor pocong, sedang ketawa mengejek sambil membuat memek muka seolah-olah sedang tidur… “owwhhhh… hantu pocong rupanya, nak bergurau agaknya, tu yang pura-pura tidur sambil berdengkur, muka macam simen pecah, ada hati nak menipu”, bisik hati saya.

Tanpa melengahkan masa, saya membaca surah al-ikhlas, sambil meniup tapak tangan. Lantas saya menepuk dada Johan sambil menjerkah hantu-hantu pocong tersebut, “Bangun kau dengan izin Allah !!!”. Dengan tak semena-mena Johan terus bangun dari tidur. Matanya terkelip-kelip dan ketawa terbahak-bahak sambil berkata, “baca surah al-ikhlas je ustaz?, tak de ke jampi-jampi yang brutal sikit yang boleh bakar kami hidup-hidup… “… pergghhhh… pocong ni bakar line nampaknya..

Ada dua ekor pocong di hadapan saya sekarang, seekor pocong memakai balut kain putih dan seekor pocong lagi memakai balut kain hitam. Masing-masing dengan gaya kesombongan yang tersendiri.

“Aku nak kau lepaskan budak ni”, kata saya.

“Ustaz… kami tidak mahu keluar, kami menerima arahan dari pihak atasan supaya tinggal dalam badan budak ni”, Kata pocong tersebut serentak. Macam dialog drama bersiri “gerak khas” la pulak..

“oowwwhhh… jin sihir rupanya…”, bisik hati saya…

“Siapa pihak atasan yang mengarahkan kamu tu?” Tanya saya…

“Elleehhhhh, ustaz ni macam tak biasa, dah nama pun pihak atasan, mana boleh sebut nama…kami hanya menerima arahan”, kata pocong tersebut sambil ketawa terbahak-bahak.

Pandai pulak pocong ni bermain kata-kata… Memang sengaja cari pasal pocong ni…

Tanpa membuang masa saya membaca ayatul Qursi berulang-ulang kali untuk menghunjam pocong tersebut dengan teknik bebola api. Kelihatan pocong berbalut kain putih mula kepanasan dan terbakar akibat terkena serangan bebola api yang bertubi-tubi. Hampir separuh kain putih yang membaluti tubuh pocong tersebut hangus terbakar. Bau hangit terbakar menusuk hidung, namun pocong tersebut tetap bertahan, walaupun terjerit-jerit kesakitan.

“Aku beri kamu amaran yang terakhir, samada kamu keluar atau aku pancung kamu sampai mati”, saya menggertak pocong tersebut.

“Eeehhh Ustaz… tak baik tau bunuh kami, berdosaaaaa…”, pocong berbalut kain hitam bersuara dengan nada mengejek..

“Sedangkan nyamuk gigit pun aku tampar sampai mati, ni kan pula pocong durjana macam kamu berdua ni”, balas saya dengan harapan pocong tersebut mengalah..

Sudah hampir setengah jam berlalu, pocong putih terbakar teruk, manakala pocong hitam tiada terjejas sedikit pun, seolah-olah ia kebal dari serangan saya. Oleh kerana pocong tersebut masih berdegil tidak mahu keluar, saya mohon kepada Allah agar memberi keizinan semoga saya dapat memancung pocong tersebut sampai mati…

Sambil membaca “ayat pedang”, saya mengeluarkan pedang ghaib dari celah-celah jari. Kilauan pedang yang timbul cukup menyilau dan menggerunkan pandangan pocong putih itu. Hanya dengan sekali tebasan, putus kepala pocong tersebut jatuh tercerai dari badannya, tiba-tiba Johan menggelepar lalu jatuh pengsan…

Pocong putih sudah mati, tetapi pocong hitam masih ada lagi… Hati saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pocong berbalut kain hitam ini, dari tadi dia seolah-olah tidak terkesan dengan serangan-serangan yang saya lakukan…

Apakah kesudahan kisah ini...? Berjayakah saya menewaskan pocong hitam yang kebal dan tidak lut dengan serangan-serangan tahap gaban saya...? Nantikan sambungan kisah ini tidak lama lagi...

Bersambung...