Wednesday, April 25, 2012

Ustaz !!!.... Aku Berguru Dengan Jin !!!...

Pernah satu ketika saya didatangi oleh seorang pemuda yang mengadu beliau sudah tidak tahan dengan gangguan makhluk halus. Badan beliau terasa sungguh berat dan sakit di seluruh sendi-sendi,

Kerap kali beliau merasakan ada sesuatu yang menghimpit semasa beliau tidur sehingga sangat sukar bernafas. Akhir-akhir ini emosinya juga sangat terganggu, ada saja pertengkaran dengan isterinya, anak-anak pun tidak terlepas dari menjadi mangsa amukan panas baran beliau.

"Apa sebenarnya yang berlaku ustaz?", tanya beliau kepada saya.., wajahnya yang kelam dan penuh dengan tanda-tanda bebanan masalah sudah cukup untuk menggambarkan betapa tertekannya pesakit dengan keadaannya sekarang.

Dalam hati saya berkata.."apa yang sebenarnya berlaku???? engkau yang cari pasal, engkau tanya aku pula", sambil memikirkan apakah bahasa yang paling indah yang dapat saya gunakan untuk tarbiah hamba Allah ini.. :-)

"Errmmm... awak ada selalu masuk hutan ke?", saya memulakan "jarum" pertama sebagai soalan cepumas...

"Ehhh!!!! mana ustaz tahu saya selalu masuk hutan??", berubah air mukanya bila saya terjah dengan soalan sebegitu.

"Saya teka je,... Errmmm... Apa yang awak buat selalu masuk hutan?", dalam hati tersenyum kerana jerat sudah mengena.. :-)

Beliau tertunduk sebentar, dengan air muka yang kelihatan serba salah... "Sebenarnya ustaz, saya nak berterus terang, saya selalu masuk hutan kerana saya berguru dengan jin".

"Haaa???? berguru dengan jin??", saya pura-pura terperanjat, padahal tadi sudah saya nampak gambaran hutan, dan juga gambaran segerombolan makhluk yang pelik-pelik..

Beliau terus bercerita, sebenarnya beliau kerap ke hutan pahang untuk berguru dengan beberapa ketua jin di sana, beliau senaraikan beberapa nama jin-jin tersebut, ada dua belas semuanya. Ada beberapa barang pemberian jin-jin tersebut, tasbih, tongkat, cincin, keris, minyak pengasih dan macam-macam lagi.

Beliau bercerita lagi bahawa diantara amalan yang perlu dilakukan ketika dihutan untuk menyeru jin-jin tersebut adalah beliau perlu berzikir "AR-ROJIM" beberapa ribu kali.

Diantara tujuan beliau berguru dengan jin adalah untuk melindungi diri dari musuh, untuk pengasihan, untuk mendapatkan barang-barang pelik dari alam jin, dan pelbagai lagi "kelebihan" yang pada saya tidak ada apa yang "lebih" pun.

Saya memulakan sessi rawatan dengan meminta pesakit tersebut bertaubat kepada Allah s.w.t, dan melakukan ikrar taat setia kepada Allah dan Rasul. Selesai saja saya membaca surah Al Fatihah, saya bacakan ayat untuk membatalkan amalan-amalan salah pesakit, tiba-tiba tubuh badan pesakit bergoncang dengan kuat, dengan izin Allah saya lihat seolah-olah ada begitu ramai makhluk yang berdamping dengan beliau berada di belakangnya.

MasyaAllah, makhluk-makhluk ini sudah bersedia untuk berlawan dengan saya.

"Kalau bertempur, penat ni, ramai betul geng2 dampingan pesakit ni", dalam hati saya merungut sendirian.

Untuk mengelakkan pertempuran yang membazir tenaga, saya memilih untuk berbincang dulu dengan makhluk-makhluk tersebut.

Dengan izin Allah, saya panggil ketua jin tersebut berdepan dengan saya, suasana agak tegang ketika itu, masing-masing bersiap sedia untuk bertempur, bila-bila masa sahaja. Ada diantara mereka yang sudah mula membuka langkah silat untuk menyerang saya.

Namun, dengan nada yang tenang, saya tegaskan kepada ketua jin tersebut, bahawa saya tidak suka menggunakan kekerasan dan kekasaran, dan saya mohon dengan cara baik agar mereka semua memutuskan semua perhubungan dengan pesakit sebagaimana yang telah diminta sendiri oleh pesakit.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, tanpa menggunakan tenaga yang banyak, makhluk-makhluk tersebut bersetuju untuk meninggalkan pesakit dan memutuskan semua perhubungan dengan beliau. Mungkin suasana yang tegang pada awal tadi adalah kerana mereka salah sangka dan merasa terancam dengan kehadiran saya.

Ini baru jin-jin dampingan lapisan pertama, ada dua belas lapisan semuanya.

Tanpa melengahkan masa saya panggil pula jin dampingan pesakit tersebut yang berada di lapisan kedua. Jin dampingan lapisan kedua berjumlah dua ekor sudah muncul, jin kali ini lebih ganas dari jin yang tadi. Dengan tidak semena-mena jin-jin tersebut berdiri lalu mahu menyerang, dengan izin Allah saya halakan tapak tangan kanan ke arah jin tersebut, lalu saya pancarkan "Cahaya Lam Jalalah" melalui tapak tangan saya, terpelanting jin tersebut jatuh kebelakang.
"Padan muko ekau", dalam hati saya mengejek.. :-)

Saya nasihatkan jin tersebut agar lupakan saja hasratnya untuk menentang saya, kerana Allah tidak akan memberi kemenangan kepada golongan yang zalim, tambahan pula saya telah batalkan kekuatan mereka dengan bacaan ayat "pembatal ilmu salah" tadi. Kedua-dua jin tersebut mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah diri dan mengaku kalah. Akhirnya mereka meninggalkan pesakit tersebut.

"Cukuplah dulu pertempuran untuk hari ini", kata saya kepada pesakit. Pesakit tersebut memandang saya, kali ini dengan wajah yang agak ceria dan lebih cerah dari tadi. Pesakit dengan perasaan yang teruja berkata, "ustaz, saya rasa badan saya sangat ringan sekarang, saya sangat tenang, sudah hampir sepuluh tahun saya tak pernah rasa setenang ini", sambil beliau mengalirkan air mata dan menangis teresak-esak.

"Syukurlah kehadrat Allah, urusan kita dipermudahkan untuk hari ini, awak perlu bertaubat sungguh-sungguh dan tinggalkan semua amalan-amalan khurafat yang tidak mendatangkan faedah tersebut", kata saya sambil merenung-renung dalaman pesakit. Ternyata masih ada lagi saki baki jin-jin dampingan yang lain, tapi semuanya akan di "flush" dengan air rawatan untuk minuman dan mandian pesakit nanti.

"Baiklah ustaz, insyaAllah selepas ini saya nak datang untuk belajar dengan uztaz, saya nak dalami ilmu agama", kata pesakit tersebut sambil mengesat-ngesat air mata yang bercucuran ke pipinya.

Saya hanya mendiamkan diri, dan berdoa moga-moga perubahan positif pesakit ini akan berkekalan dan semoga beliau sentiasa diberi petunjuk dan hidayah dari Allah s.w.t