Tuesday, May 22, 2012

Ceramah Motivasi Ustaz Azrin di SMK Agama Limbang... (Misi Pertama)

Bismillahirrahmanirrahim. Syukur ke hadrat Allah s.w.t dengan limpah kurniaNya yang tidak terhingga selesai lah sudah misi saya di Limbang baru-baru ini. Perjalanan ke Limbang dari Kuala Lumpur yang memakan masa hampir satu hari agak memenatkan.

Saya memilih jalan udara untuk ke Limbang, berbanding jalan darat yang kebiasaannya akan mengambil masa yang lebih lama. Sampai di Limbang saya di sambut oleh Ustaz Ahmad, sahabat yang bertanggungjawab membawa sinar kaedah Rawatan Islam ke Limbang.

Sampai di Hotel saya ada lebih kurang 20 minit sahaja untuk bersiap dan perlu bergegas ke Sekolah Menengah Agama Limbang untuk program ceramah Motivasi untuk pelajar-pelajar sekolah tersebut. Melangkah masuk ke kawasan sekolah, terimbas kembali kenangan ketika saya di sekolah berasrama satu masa dulu. Kehidupan di asrama banyak mengajar saya erti berdikari.

Setibanya saya di situ, kelihatan dewan solat sudah dipenuhi dengan murid-murid sekolah yang menanti untuk solat maghrib secara berjemaah. Dalam hati saya, inilah diantara wajah-wajah yang yang mempengaruhi masa depan negara dan akan mewarisi tanggungjawab negara kita satu hari nanti

Kelihatan beberapa orang guru mengarahkan murid-murid yang masih berada di luar agar masuk ke dewan solat. Besar sungguh tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Hati yang teguh, kesabaran yang tinggi pengorbanan yang besar sangat diperlukan dalam kehidupan sebagai seorang guru. Belum lagi diambil kira tentang perasaan-perasaan mereka yang tercalar, sedih dan kecewa asbab dari kedegilan murid-murid…. Namun, atas semangat perjuangan seorang guru yang tidak mengenal erti kalah dalam mendidik dan membentuk anak murid, semua perasaan-perasaan yang tidak enak itu mereka telan dan hancurkan dalam diri dengan niat kerana Allah.

Saya menyampaikan ceramah sejurus selepas selesai solat maghrib. Didalam ceramah tersebut saya cuba sedaya upaya membangkitkan jiwa terbaik yang terpendam dari dalam diri anak-anak tersebut. Kebanyakan anak-anak kita mempunyai sifat2 kreatif, aktif, agresif  serta berani, cuma sifat-sifat tersebut selalunya tersalah arah. Saya sentuh jiwa dan naluri mereka dengan pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa serta guru terhadap mereka. Ramai yang menitiskan airmata kerana tersentuh. 

Moga-moga benih kesedaran yang saya semaikan pada anak-anak sekelian pada ceramah tersebut sedikit sebanyak dapat membantu dan melorongkan anak-anak sekelian ke jalan yang diredhai Allah s.w.t seterusnya menjadikan anak-anak sekelian mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

Ingat pesan ustaz… “MULAKAN SETIAP HARI ANDA DENGAN NIAT DAN DOA UNTUK MENJADI INSAN YANG TERBAIK”…

Akhir kata, terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput saya untuk memberi ceramah motivasi kepada warga SMK Agama Limbang, moga-moga kita semua sentiasa didalam rahmat dan petunjuk Allah dalam menuju kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.
Ingat anak-anak... Kita adalah  "Yang Terbaik"..


 
 
 "Siapa yang sayang Ibu??".... "Saayaaaaa!!!!"

Sessi Kesedaran Diri Mengenang Kasih Ibu... Syahdu...


Cenderamata disampaikan oleh Tuan Haji Jafferi Bin Haji Mail, Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Agama Limbang