Monday, July 30, 2012

Selangkah Ke Alam Ghaib - Bertempur Dengan Jin Hutan..

Malam itu hujan renyai-renyai.. ku hirup dan ku nikmati kopi panas yang telah kubancuh sendiri di bawah atap kain kanvas.. Jam kini menunjukkan hampir detik 12 tengah malam... Kurasakan malam ini berlainan sekali...  Banyak sungguh imbasan-imbasan makhluk dari alam ghaib hadir di pandangan mata batinku... Apa yang mereka mahu?? Aku pun tidak tahu... Yang pasti aku dan sahabat-sahabatku tidak melakukan perkara-perkara diluar batasan di dalam hutan simpan yang begini tebal...

Sebenarnya kami telah tersesat  di dalam hutan... Petang tadi kami bercadang untuk berkhemah di "Sungai Tiga", sebelum kami bergerak ke puncak gunung awal-awal pagi esok... Malangnya... disebabkan kelalaian kami memerhatikan tanda jalan, kami telah tersesat... Tambah merumitkan keadaan kerana kami tidak membawa kompas..

Tadinya, hanya dengan berpandukan niat untuk mencari anak sungai, kami berjalan dan terus berjalan menyusur belukar dan denai yang telah di rentas oleh pengunjung-pengunjung hutan sebelum ini... Setelah hampir dua jam berjalan, kami terdengar sayup-sayup bunyi air terjun yang menandakan anak sungai tidak jauh dari situ. Kami berlari-lari anak menuju ke arah bunyi air terjun tersebut. Yang hairannya setelah beberapa ketika, bunyi air terjun tersebut hilang begitu saja. Kami terpinga-pinga kehairanan. Masakan bunyi air terjun yang begitu kuat tadi boleh hilang dengan tiba-tiba.

Aku berjalan di hadapan, mengepalai ekspedisi mendaki gunung yang telah kami rancang hampir sebulan yang lalu... Entah mengapa laluan kami kali ini agak aneh, acapkali aku terlanggar sarang labah-labah yang merentang denai yang kami lalui.. Terdetik di hati ini... sarang labah-labah ini menunjukkan denai ini sudah lama tidak di gunakan orang... Namun mulutku seperti terkunci...

Selalunya aku masuk ke hutan hanya berbekalkan hati yang ikhlas untuk beriadah, tidak pernah terlintas untuk aku mencabar penghuni-penghuni hutan yang tidak aku tahu hujung kekuatan mereka... Malahan "senjata-senjata" dan "pakaian-pakaian perawat"ku juga telah aku tutup dengan bacaan surah yaasiin ayat 9, dengan harapan moga-moga penghuni-penghuni hutan tidak memandang aku sebagai ancaman.

Mungkin aku terlalu mengambil remeh soal petua dan langkah untuk masuk ke hutan, namun itulah aku... hanya berbekalkan kalimah Bismillah dan tawakkal kepada Allah s.w.t, hutan manapun jika yakin insyaAllah aku akan redah...

Hari semakin gelap, masing-masing sudah memasang lampu suluh kerana lorong-lorong denai sudah mula samar dan tidak kelihatan.. "Energy" hutan dalam keadaan gelap sebegitu memang menggerunkan... Entahkan binatang buas, entahkan binatang berbisa... entahkan "penghuni hutan" yang mengerikan... semua itu bermain di fikiran kami...

Tiba-tiba, sekali lagi kami mendengar bunyi air terjun... kami kegembiraan, membayangkan tempat perhentian semakin hampir, dan kami akan berkhemah di situ... Kami bergegas mempercepatkan langkah... namun beberapa minit selepas itu bunyi air terjun tersebut hilang tiba-tiba...

"MasyaAllah.. aku sudah dipermainkan "penghuni hutan" nampaknya", bisikku didalam hati.. Kami semua terdiam dan tergambar perasaan cuak dan risau di wajah masing-masing...

"Kita teruskan perjalanan mencari sungai.. dengarkan lagi bunyi air terjun dan kita akan menuju ke situ", aku bersuara memecah keheningan malam...

Setelah meneruskan perjalanan beberapa ketika, kami terdengar lagi bunyi air terjun... kemudian hilang.. kemudian terdengar lagi.. kemudian hilang... pelik sungguh keadaan ini... sehinggalah kami sampai di satu tanah tinggi yang di kelilingi oleh pokok-pokok hutan tua. Bunyi air terjun yang sangat kuat.. tetapi air terjunnya... tiada...

Barulah kami tahu, rupa-rupanya bunyi air terjun yang sangat kuat itu tadi sebenarnya adalah bunyi angin gunung yang merempuh pokok-pokok hutan, bunyinya sangat hebat dan menggerunkan sehingga kita akan menyangka bahawa pokok-pokok itu semua akan tumbang...

Menyedari telah "tertipu", kami membuat keputusan untuk memasang khemah di situ, dan akan menyusur berpatah balik pada keesokan harinya.

Dari tadi aku perhatikan Bakri, pemuda lepasan universiti yang baru pertama kali mengikuti program outdoor yang aku anjurkan, dia yang beriya-iya meminta kebenaran aku untuk turut serta. Entah mengapa mukanya agak pucat yang luarbiasa. Dia seperti benar-benar dalam ketakutan...

Memandangkan Bakri masih belum tidur, aku mempelawanya untuk duduk minum kopi bersama-sama denganku... Anehnya Bakri hanya diam sambil merenung wajahku dengan renungan yang agak menakutkan...

"Bakri... Bakri... kenapa ni?" tanya aku kepada Bakri..

Tiba-tiba Bakri bersuara dengan suara yang garau dan kasar, "Aku nak kau pergi dari sini, ini bukan tempat engkau... Aku akan panggil kawan-kawan aku yang lain untuk bunuh engkau dan kawan-kawan engkau".

"ooohhh!!! "penghuni hutan" rupanya", tahulah aku, bahawa yang dihadapan aku sekarang ini bukan lah Bakri, tetapi jin hutan yang menghuni di sini.

"Budak ni dah bunuh ahli keluarga kami, Kami mahukan pembalasan, nyawa harus diganti dengan nyawa!!!", ugut jin hutan itu lagi...

Aku hairan mengapa sampai boleh jadi begini, sedangkan sebelum-sebelum ini sudah berkali-kali aku masuk hutan, namun "penghuni-penghuni"nya tidak pernah mengganggu. Kenapa pulak jin tu kata Bakri dah bunuh keluarga mereka???...

"Apa salah kami? kami tersesat, kami hanya ingin bermalam di sini semalaman sahaja, esok pagi kami akan pergi", aku membalas kata-kata jin hutan tersebut.

Bakri yang tadinya duduk, tiba-tiba bangun dan cuba untuk menerkam ku... sepantas kilat ku halakan pancaran lam jalalah dari tapak tanganku ke arah Bakri, lantas dia terkaku tidak bergerak.

Ku kumpulkan energy "tanafas" di pusat dan terus ku rejam dengan kekuatan arus "nufus" ku ke arah Bakri... Bakri tercampak ke arah khemah, roboh khemah yang telah kami dirikan tadi. Kelam kabut sahabat-sahabat yang sedang tidur di khemah tersebut bangun sambil terpinga-pinga.

Kelihatan Bakri tidak sedarkan diri, tanpa membuang masa aku tawarkan air dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran dan ku sapukan ke wajah Bakri... Perlahan-lahan Bakri membuka mata sambil mengucapkan istighfar... Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah, Bakri telah sedar...

Aku tidak berpuas hati, ku pejamkan mata ku menelusuri ke dalam tubuh rohani Bakri, kulihat ada gambaran seorang tua bertongkat berpakaian hitam seperti pahlawan. Baru lah aku tahu, rupa-rupanya Bakri ada masalah gangguan saka. Jin Saka Bakri telah membunuh salah seorang ahli keluarga jin hutan tersebut, kononnya kerana ingin mempertahankan Bakri dari serangan-serangan jin hutan sepanjang perjalanan petang tadi.

Dengan izin Allah s.w.t aku pasungkan jin saka Bakri dan ku serahkan kepada jin-jin hutan tersebut untuk pengadilan. Dengan izin dan limpah kurnia Allah s.w.t juga aku beri amaran kepada jin-jin hutan di kawasan tersebut agar tidak menganggu kami pada malam itu..

Alhamdulillah, kami tidur lena hingga ke pagi... Walaupun kedengaran bunyi bising binatang buas berdekatan dengan khemah... Hanya tawakkal kepada Allah menjadi bekalan kami...

Bila hari telah cerah, kami akan menyusur kembali berpatah balik untuk mencari jalan sebenar... moga-moga kami bertemu anak sungai sebagai tanda jalan untuk turun semula ke kaki gunung...

Kisah ini mungkin bersambung.. mungkin tidak  :-) tengok mood laa... :-)