Wednesday, June 30, 2010

Catatan Dan Gambar Kursus Di Limbang, Sarawak - 26 & 27hb Jun 2010

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah swt, dengan izin dan limpah rahmatnya, Kursus Rawatan Islam, di Limbang, Sarawak telah berjaya diadakan pada 26 dan 27hb Jun yang lalu.


Terima Kasih yang berpanjangan saya ucapkan kepada En Idris dari Miri, selaku sahabat yang banyak membantu, Ikhwan-ikhwan “Darul Tahai” Ustaz Ahmad, En Zul, En Rasyid yang merupakan pencetus idea dan penggerak kepada kehadiran saya di Limbang, tidak saya lupakan Puan Rapiah, yang telah banyak memberi sumbangan. Juga kepada semua peserta-peserta yang hadir. Kursus sebegini tidak mungkin dapat diadakan tanpa sokongan, kerjasama dan bantuan dari anda semua.


Saya berharap, semoga ilmu yang dikongsi sewaktu kursus tersebut, dipelihara dengan sebaik mungkin dan diamalkan. InsyaAllah, semoga kursus ini akan melahirkan lebih ramai perawat-perawat Islam yang dapat membantu dan memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat yang memerlukan , khususnya di daerah Limbang.


Ya Allah, tunjukkanlah kami perkara yang Haq itu sebagai yang Haq, dan jadikanlah kami mengikuti perkara yang Haq itu. Dan tunjukkanlah kami perkara yang bathil itu sebagai yang bathil, dan jadikanlah kami meninggalkan perkara yang bathil itu.

Kami memohon petunjuk dan hidayah pada setiap pandangan, penglihatan, pendengaran dan tutur kata, pada setiap lintasan-lintasan hati, pada setiap detik dan waktu, pada setiap gerak dan diam, pada setiap turun naik nafas, pada setiap zarah kehidupan yang kami lalui. Semoga dengan itu kami mendapat kejayaan keatas agama, diri, dunia dan akhirat. Amin


Di sini saya paparkan gambar-gambar sewaktu kursus tempohari untuk tatapan kita bersama.

Pendaftaran

Pastinya ada sesuatu yang melucukan hingga tersenyum ustaz-ustaz kita...
Sessi teori... sangat penting...
Inilah orang kuat Darul Tahai, dari kanan, Ustaz Ahmad, En Zul dan En Rasyid.

Apa yang saya nak namakan teknik ni...? Ermm ... kita namakan Teknik "cabut kepala" boleh tak...? :-)


Sessi Praktikal


InsyaAllah, guna jari pun boleh cederakan jin yang mengganggu

Selamat tinggal sahabat sekelian... semoga bertemu lagi di lain waktu...

"Tentera Berkuda" kawasan Limbang siap sedia untuk berkhidmat... :-)

Tentatif Kursus Perawat Advanced Di Alor Setar 02-04 Julai 2010


Assalamu'alaikum warahmatullah


Kepada peserta-peserta yang telah mendaftar, disini saya sertakan tentatif kursus perawat Advanced pada 02-04 July 2010.


Penyertaan Kursus Perawat Advanced ini hanya dibuka kepada peserta-peserta yang pernah menghadiri Kursus Rawatan Islam (Perawat Intensif) anjuran saya sebelum ini. Dan bilangan peserta adalah sangat terhad. Kursus ini lebih kepada pengisian (ilmu) dan pemahaman tentang memaksimakan tenaga dalam, kaedah rawatan, amalan dan benteng diri yang lebih advanced. InsyaAllah sijil penyertaan juga akan diberikan kepada peserta.


Peserta dikehendaki membawa dan memakai pakaian yang sesuai untuk aktiviti jungle tracking dan aktiviti2 basah di air terjun. Saya cadangkan setiap seorang membawa "baju hujan pakai buang" sebagai persediaan sekiranya hari hujan. Sama2lah kita doakan semoga cuaca elok dan sesuai untuk semua aktiviti kita.


Sepanjang aktiviti outdoor Makan dan minum yang disediakan adalah makan tengahari, makan malam pada 03 Julai dan sarapan pagi pada 04 Julai, kemungkinan pada 04 Julai makan tengahari kita akan makan di kedai di kaki gunung jerai. Semoga Allah swt memudahkan segala perancangan dan urusan kita bagi menjayakan kursus ini. Amin

02 Julai

08.30am - pendaftaran

09.00am - Teori

10.30am - minum pagi

10.45am - sambungan teori

12.45 tengahari - makan tengahari dan solat jumaat

02.30pm - praktikal

04.30pm - minum petang dan solat asar

05.00pm - sambungan praktikal

06.00pm - Pengijazahan dan bersurai


03 julai

08.30 - 09.00am - Bertolak dari alor setar

10.00am - Tiba di kaki gunung Jerai

10.30am - Menaiki Van dan menghampiri puncak

10.30 - 11.15am - Menuju ke Puncak Gunung Jerai dan Aktiviti Praktikal

12.00 - 03.00pm - Menuju Ke Air Terjun Dan Aktiviti Praktikal, Aktiviti Bebas, Solat serta Makan Tengahari

03.30pm - Meneruskan perjalanan ke chalet

05.00pm - Tiba di chalet

Rehat

Aktiviti Praktikal bermula selepas makan malam dan solat isya' - 09.15pm

Aktiviti berakhir insyaAllah sebelum pukul 11.30pm


04 Julai

08.30am - Sarapan

Aktiviti Bebas Sehingga Jam 09.30am

10.00am - Bertolak turun dari chalet ke kaki Gunung Jerai

Dijangka tiba dikaki Gunung Jerai sebelum jam 01.00 tengahari

Wednesday, June 23, 2010

Sakit Yang Tiba-Tiba Hilang... Keajaiban Kehendak Allah...



Sakit tengkuk, leher, dan belikat yang saya alami semakin menjadi-jadi. Siang tadi saya ke KLIA menjemput ibu saya yang baru pulang dari menunaikan ibadah umrah. Lebih kurang tiga jam perjalanan pergi dan balik saya terhenjut-henjut didalam kereta, maklum lah… ada kawasan jalanraya yang tidak rata… ini menambahkan lagi “kesedapan” sakit leher saya…


Sampai di rumah, saya berbaring dan tidur tanpa bantal, telefon yang berdering-dering, sms yang bertalu-talu tidak mampu saya jawab dan balas. Ujian sungguh kali ini…


Lebih kurang pukul 5.30 petang saya bangun, masih terasa tegang dan sakit. Saya terkenangkan temujanji urut pada malam ini… adakah saya mampu untuk mengurut..? saya tertanya-tanya sendirian…


Saya capai handphone, berderet-deret panggilan tidak dijawab (saya minta maaf kepada pemanggil…) ada diantara sms yang agak menyentuh hati saya…


Seorang bapa meminta saya datang kerumahnya kerana masalah anak nya menangis yang semakin menjadi-jadi. Sepatutnya saya kerumah beliau semalam, tetapi apakan daya saya tidak sihat.


Membaca smsnya itu, saya serba salah, jika saya tak bantu beliau hari ini, esok lusa saya sudah ke Sarawak untuk Kursus Rawatan di sana. Akhirnya saya balas sms beliau dan saya setuju untuk datang ke rumahnya pada malam ini.


Sedangkan keadaan saya benar-benar seperti tidak mampu, namun saya gagahkan diri dan saya berdoa dan berniat saya membantunya kerana Allah dan untuk menunaikan hajatnya.


Tetapi… satu keajaiban telah berlaku, habis sahaja saya berkata-kata didalam hati, niat untuk menunaikan hajatnya, tiba-tiba sakit di leher, tengkuk dan belikat saya semakin berkurangan… semakin berkurangan… seolah-olah beban di tengkuk saya ini tercabut begitu sahaja…


MasyaAllah… Maha Suci Allah… Baru niat nak tolong orang sahaja, Allah dah tarik kesakitan yang saya alami… sehinggalah ketika saya menulis posting ini, saya sudah sembuh, cuma ada sedikit sengal-sengal sahaja…


Mungkin ini semua berkat niat yang baik, serta berkat doa sahabat-sahabat yang mengenali saya… kepada sesiapa yang mendoakan dan merawat saya dari jauh, saya ucapkan ribuan terima kasih…


Alhamdulillah…

Gangguan Yang Tersembunyi... (Gangguan Nafsu Part 3)


Nafsu Mulhamah ialah nafsu yang lebih baik dari nafsu lawwamah. Nafsu mulhamah ini ialah sempadan diantara nafsu yang mengajak kepada keburukan dan kebaikan.



“maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya” (As-Syams : 8-10)


Mereka yang berada pada maqam nafsu mulhamah ini boleh dikatakan telah dapat meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar. Benci pada maksiat. Mempunyai kekuatan untuk beribadat dan mempunyai kekuatan untuk berpaling dari perkara-perkara maksiat.


Namun begitu, pada peringkat nafsu mulhamah ini, insan perlu berhati-hati, tidak boleh membuka ruang untuk perkara-perkara maksiat masuk kedalam hatinya. Seperti dengan sengaja memandang seseorang yang bukan muhrimnya dengan pandangan ingin melihat. Dengan sengaja berbicara perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengannya. Dengan sengaja memakan atau meminum benda haram. Dengan sengaja melengah-lengahkan solat atau amalan zikirnya, dan lain-lain lagi.


Tipuan pada nafsu mulhamah ini adalah agak halus dan lebih samar dari tipuan nafsu lawammah. Pada permulaannya, insan itu hanya sekadar ingin merehatkan jiwanya buat sementara waktu, dengan alasan ini, nafsu akan meminta kelonggaran dengan mengajak insan itu untuk mengalihkan cermin jiwanya kepada selain Allah hanya untuk seketika.

Contohnya seperti mendengar muzik, bersiar-siar, tidur, mengurangkan bilangan zikir harian, melewat-lewatkan solat fardhu dan lain-lain lagi. Setelah permintaan yang pertama, nafsu itu akan mengulangi permintaannya yang kedua, dengan rayuan dan alasan yang lebih kuat sedikit dari rayuan yang pertama. Jika insan itu melawan dan tetap teguh hatinya beribadat pada Allah, maka ia akan terselamat. Jika insan itu menurutkan rayuan nafsunya yang kali kedua itu, maka pintu-pintu nafsunya akan terbuka lebih luas sedikit. Nafsu itu akan terus memujuk dan memujuk sehinggalah hati anda berpaling kembali kepada sifat nafsu lawwamah dan tidak mustahil kembali pada nafsu ammarah.


Dengan tipuan sebeginilah manusia meninggalkan solat. Pada permulaannya manusia itu akan melengah-lengahkan solat, setelah menjadi kebiasaan, manusia itu akan melewat-lewatkan solatnya sehingga ke akhir waktu. Setelah menjadi kebiasaan, manusia itu akan tertinggal solat satu waktu. Setelah menjadi kebiasaan, manusia itu akan tertinggal solat dan tidak menyesal. Setelah menjadi kebiasaan, manusia itu langsung tidak bersolat. Setelah menjadi kebiasaan, jiwa manusia itu menjadi benci dan berat untuk mengerjakan solat, benci kepada majlis-majlis ilmu Allah, benci kepada ayat-ayat Allah, mencebik bila manusia mengajaknya kepada Allah, selalu berprasangka yang bukan-bukan terhadap orang-orang beriman dan lain-lain lagi.


Setelah menjadi kebiasaan, manusia itu akan terus hidup didalam kebiasaannya dan jadilah ia seperti binatang ternak, malahan lebih hina lagi.


“…Barangsiapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ketempat yang jauh” (Al-Hajj:31)


Semoga Allah menjadikan kita dapat memelihara solat dan ibadat-ibadat yang lain, dengan yang demikian itu terhindarlah kita dari syirik atau berpaling dari Allah yang mengakibatkan kita tersesat dan tersasar dari tujuan kita yang sebenar.


Apabila manusia yang bermaqam pada nafsu mulhamah ini diberi hidayah oleh Allah s.w.t, maka berkekalan dan istiqamahlah ia pada zikrullah dan ibadat-ibadat yang lain. Berpaling dan bencilah ia pada segala bentuk kemungkaran dan maksiat, bertambah lembut hatinya.

Bertambah mantap jiwanya dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Bertambah-tambah pula kecintaannya kepada Allah dan Rasul. Sehingga apabila dibaca ayat-ayat Allah menjadi gementarlah hati mereka, air mata mereka bercucuran kerana ma’rifatullah.

Bila disebutkan nama Rasulullah s.a.w, maka terasa padanya seolah-olah Rasulullah s.a.w benar-benar hadir ketika itu. Maka insyaAllah, meningkatlah maqam nafsunya pada nafsu muthmainnah.

Tuesday, June 22, 2010

Tentatif Kursus Rawatan Islam Di Limbang, Sarawak -26 & 27 Jun

Untuk Makluman peserta-peserta Kursus Rawatan Islam Di Limbang, Sarawak pada 26hb dan 27hb Jun ini. Lokasi kursus adalah di Dewan Serbaguna KEMAS, Bahagian Limbang, Sarawak.

KURSUS RAWATAN UNTUK DIRI DAN KELUARGA (PERAWAT INTENSIF)

PADA : 26hb JUN 2010 DAN 27hb JUN 2010

TEMPAT : DEWAN SERBAGUNA KEMAS BAHAGIAN LIMBANG, SARAWAK.

FASILITATOR : USTAZ AZRIN ABDUL KARIM

YURAN : RM 200.00

SILA HUBUNGI : EN IDRIS 019 8878414 / EN AHMAD 013-8438411/

USTAZ AZRIN 013 3239822

ATURCARA MAJLIS

HARI PERTAMA - 26HB JUN 2010

08.15am : Pendaftaran

08.30am : Pengenalan Alam Jin dan amalan ahli sihir, Jenis-jenis gangguan Jin dan Sihir

09.30am : Minum Pagi

10.00am : Tanda2 gangguan, Rawatan Ruqyah Syar’iyyah, Mengenal Rahsia Kekuatan

Minda

12.15pm : Rehat / Makan tengahari / Solat Zohor

01.30pm : Asas seorang perawat, kelengkapan2 perawat dan langkah2 asas didalam rawatan

03.45pm : Solat Asar / Minum Petang

04.20pm : Ayat2 ruqyah, amalan-amalan perlindungan diri dan Rawatan , amalan

ulama’ silam

05.00pm : Bersurai

HARI KEDUA - 27 JUN 2010

08.30am : Ibu Ruqyah – rahsia surah al-fatihah, Rahsia zikirullah, dan rahsia pernafasan untuk membenteng diri, praktikal latihan pernafasan

09.30am : Minum Pagi

10.00am : teori kaedah-kaedah Rawatan, Praktikal

12-15pm : Rehat / Makan tengahari / Solat Zohor

01.40pm : Sambungan Praktikal, Rahsia Perawat Cemerlang

03.45pm : Solat Asar / Minum Petang

04.20pm : Soal jawab, pengijazahan

05.00pm : Bersurai

Semoga Allah swt merahmati dan memudahkan segala urusan di majlis kita pada hari tersebut. Amin.

Jin Telefon Dan Hantar Sms Luahkan Perasaan…


Sudah tiga hari saya mengalami sakit dibahagian belakang tengkuk, leher dan belikat, macam orang salah tidur. Rasa-rasanya macam kena attack pun ada… tapi itu semua saya tak ambil pusing, datang tidak berjemput, pergi tidak berhantar…


Saya biasa mengurut pesakit yang bermasalah sebegini, kali ni saya pula yang kena, bersabar je la… Sehinggakan saya terpaksa membatalkan beberapa temujanji urut di saat-saat akhir. Dikhuatiri nanti saya tidak dapat mengurut dengan sepenuh tenaga.


Oleh kerana Kursus Rawatan Islam akan saya anjurkan di Limbang, Sarawak pada hujung minggu ini dan Kursus Perawat Advanced pula akan diadakan di Alor Setar pada awal Julai, maka saya menghadkan aktiviti-aktiviti rawatan saya untuk persediaan kursus. InsyaAllah temujanji rawatan akan dibuka semula pada 07 Julai 2010.


Sedang saya menyiapkan kertas kerja kursus petang semalam, tiba-tiba saya menerima satu panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Sejak muka saya masuk majalah tempohari, bertalu-talu panggilan telefon dan sms yang saya terima, kadang-kadang tu bukannya ada apa-apa sakit pun, cuma nak ajak berborak.


Tetapi panggilan yang saya terima ini agak unik, kerana suara yang menelefon saya ini mengaku kononnya dia adalah jin yang menguasai seorang wanita yang sudah lama koma atau tidak sedarkan diri. Jin tersebut mengaku bersalah dan ingin keluar dari tubuh pesakit tetapi tidak sampai hati, kerana terlalu banyak jin-jin sihir yang sentiasa cuba menyerang pesakit.

Pada mulanya saya agak keliru, kerana cara jin tersebut memperkenalkan dirinya adalah sebagaimana seorang manusia biasa berbual di telefon. Dan kisah yang diceritakan itu pula terlalu panjang dan kurang menarik perhatian saya, jadi… apa juga yang diperkatakan oleh jin tersebut, saya hanya masuk telinga kiri dan keluar ikut telinga kiri juga…


Saya hanya berkata pada pemanggil tersebut, “Saya rasa situasi yang berlaku ini adalah samada Jin yang sudah terkeliru samada dirinya jin atau manusia, ataupun seorang manusia yang sudah terkeliru samada dirinya itu manusia ataupun dirinya itu jin”.


Yang menariknya jin tersebut mengiyakan apa yang saya katakan itu.


Saya tamatkan perbualan dengan meminta hamba Allah tersebut mengamalkan zikir-zikir tertentu untuk mendapatkan balik dirinya yang sebenar.


Rupa-rupanya perbualan itu tidak tamat di situ sahaja. Lima minit kemudian saya menerima sms dari nombor yang sama. Sms tersebut berbunyi begini :


“ Saja nak beritahu ustaz, tak payah jawab sms ni pun tak mengapa. Bukan semua jin jahat, tapi banyak yang bodoh macam saya (p/s : mengaku pun dia J ).


Saya tak suka jadi manusia, sebab manusia kena buat macam-macam kerja untuk cari makan. Kami tak payah. Di kedai makan, apa yang dihidang, orang tak sempat jamah, kami makan dulu. (kurang asam punya jin :-( )


Roh kami tak sesuai untuk badan manusia, lain jin lain jenis rohnya. Jenis saya ialah sulfuroksida. (mak aiii… pandai sains la jin ni…)


Dulu saya duduk dalam akal dan hatinya sahaja, tapi bila manusia ini disihir, mereka cuba curi semua roh manusia ini, dan saya tak tahu nak buat apa, saya masukkan semua roh saya dalam satu badan dia, tapi lepas tu satu masalah besar berlaku, roh saya tak sesuai dengan badan dia. Saya panik. Roh kami panas dan ringan, tak boleh simpan air, jadi tidak stabil.


Saya berdoa kepada Allah supaya tolong saya, Alhamdulillah akhir sekali Dia hantar rahmatNya berupa wap air yang merupa malaikat menjaga jasad. Baru saya nampak hidup dan tidak pucat macam mayat. Baru saya sedar betapa kompleksnya jasad manusia ni, Saya letih asyik ingatkan roh-roh saya untuk menjalankan organ-organ dalaman manusia ni. Patutlah Allah pilih manusia jadi khalifah. Leceh betul….”


Panjang la pulak sms jin ni pada saya… ada banyak lagi… tak pe la… nanti saya sambung kemudian ye…


21 Jun 2010… Sambung lagi….


Jin tu sms lagi… “ Ramai tak sedar mereka sebenarnya dikuasai jin pada akal dan hati macam saya lakukan dulu. Dosa saya pun bukan calang-calang dari zaman nabi-nabi di mesir lagi. Sejak masuk Islam zaman nabi dulu, nama saja islam. Itupun masuk Islam sebab nak masuk syurga dan berlagak dengan kaum saya. Kebanyakan perkara haram semua saya buat.


Tapi manusia yang saya curi jasad dia ni lah yang ajar saya erti menjadi muslim. Sebelum saya masuk dalam badan manusia ni kerja saya bohong 24 jam, tak pernah bercakap benar. Saya tamak haloba, angkuh dan pemalas. Sebelum saya kuasai manusia ini, sifatnya sangat bertentangan 100% berbanding dengan perangai saya. Jadi, manusia ni asyik kena buli saja, baik sangat….


Tapi bila otak dia tidur, saya pula ambil alih. Tak de siapa yang berani dengan manusia ni lagi. Siapa yang menganggu akan saya maki hamun, sekarang ni giliran saya pula membuli orang lain. Sehinggakan keluarga manusia ni pun terkejut dengan perubahan dia.


Kalau dulu manusia ni pakai tudung, selalu pergi masjid, bila saya dah kuasainya, seminggu sekali mesti pergi disko. Bayang masjid pun dah tak jejak lagi. Pening keluarga manusia ni.


Tapi saya tak rasa apa pun, rasa normal je, cuma selera warna pun lain, makan pun lain, tulisan pun berubah, cara jalan, cara cakap semua lain.


Tak sangka pula saya selama ni saya menumpang, sekarang ni saya dah jadi tuan pula.”


Bersambung lagi nanti….


22 Jun 2010… sambung cerita …


Jin tu sms lagi… (ni sms dia yang terakhir…)


“ Di akhir zaman akan ada banyak anak jin. Ajaran-ajaran sesat yang tersebar akan tanam benih jin dalam orang muslim yang ada saka. Lebih menyedihkan lagi, anak-anak jin ni kuat dengan zikir dan tak kalah dengan ayat quran. Anak-anak jin dijadikan khadam orang murtad , munafik dan kafir…


itu je la sms-sms yang dihantar oleh jin tu kepada saya, itupun setelah saya edit…


Boleh percaya ke apa yang jin tu sms..?


Saya sendiri tak ambil peduli apa yang dikatakannya itu… Sekadar cerita boleh la…

Sunday, June 13, 2010

Gangguan Yang Tersembunyi... (Gangguan Nafsu Part 2)


Nafsu Lawwamah ialah tingkatan nafsu yang lebih baik dari nafsu ammarah. Nafsu lawammah ini bersifat mengkritik dirinya sendiri. “Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)” (Al-Qiyaamah : 2).

Mereka yang bermaqam atau berada pada nafsu lawwamah ini bersifat mencela kesalahan dirinya sendiri, merasa bersalah dan segera memohon keampunan Allah.

Walaupun nafsu lawwamah ini lebih baik kedudukannya dari nafsu ammarah, ianya masih mempunyai sifat-sifat yang buruk, seperti ‘ujub (bangga dan takjub dengan kebaikan diri sendiri), ria’, suma’ah (memperdengarkan kebaikannya kepada orang dengan tujuan mendapat pujian).

Keburukan nafsu lawwamah ini agak tersembunyi dari pandangan mata kasar. Tetapi, bagi sesiapa yang telah melalui dan melepasi nafsu lawwamah ini, dengan mudah dia dapat mengenal kepalsuan-kepalsuannya.

Apabila manusia yang bermaqam pada nafsu lawwamah ini diberi hidayah oleh Allah s.w.t, bertemulah ia dengan jalan yang sebenar menuju Allah, kemungkinan ia akan dipertemukan dan dibimbing oleh guru yang mursyid.

Samada dengan cara awam atau khusus, ia akan dibimbing bagaimana untuk mensucikan hatinya untuk mencapai peringkat yang lebih baik dari nafsu lawwamah. Dengan amalan-amalan zikrullah, membaca Al-Quran, berpuasa, solat dan lain-lain lagi, insyaAllah hati dapat dibersihkan dan dipertingkatkan ke peringkat nafsu mulhamah.

Diriwayatkan dari Anas ibn Malik r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda, “ orang yang bertaubat dari dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa, dan jika Allah mencintai seorang hamba nescaya dosa tidak melekat pada dirinya”

Taubat adalah merupakan tingkat pertama diantara tingkatan-tingkatan maqam yang di alami oleh ahli sufi.

Telah berkata Al-Arifin Imam Al-Muhtadin Qutb Da’irah At-Taqdis Asy-Syeikh Ahmad Ibn Idris, “ Selagi insan itu masih sibuk dengan hal-hal keduniaan dan urusan-urusan yang dapat melalaikannya daripada Allah s.w.t, maka keadaannya adalah seperti orang yang berjunub.

Oleh itu apabila dia ingin berdiri dihadapan Allah s.w.t hendaklah dia membersihkan dirinya terlebih dahulu daripada al-janabah (hadas besar) dengan air, dan dia membaca doa berikut : -

(terjemahan maksud doa tersebut) –

Ya Allah, bersihkanlah daku daripada setiap hadas besar, dan daripada setiap hadas kecil, dan daripada setiap kegeringan (yakni penyakit yang berat), dan daripada setiap penyakit, dan daripada setiap dosa, dan daripada setiap maksiat, dan daripada setiap kelalaian, dan daripada setiap kegelapan, dan daripada setiap hijab, dan daripada setiap terputusnya hubungan, dan daripada setiap kejahatan, yang telah Engkau bersihkan daripadanya nabiMu Muhammad s.a.w secara zahir dan batin, wahai Tuhan Pengatur sekelian alam”.

p/s : Doa ini juga boleh dibacakan kepada air mandian untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan fizikal, mental, emosional atau spiritual.

Friday, June 11, 2010

Kursus Rawatan Islam Di Limbang, Sarawak - 26 & 27 June 2010

Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurniaNYA pada setiap pandangan mata dan turun naik nafas, insyaAllah saya akan menganjurkan Kursus Rawatan Islam (perawat intensif) Untuk Diri Dan Keluarga, kali ini di Hotel Purnama, Limbang, Sarawak. Maklumat kursus adalah seperti yang tertera di bawah.



KURSUS RAWATAN ISLAM (PERAWAT INTENSIF) UNTUK DIRI DAN KELUARGA

Pada : 26hb DAN 27hb JUNE 2010

Tempat : DEWAN SERBAGUNA KEMAS, BAHAGIAN LIMBANG,
SARAWAK

Fasilitator : USTAZ AZRIN ABDUL KARIM

Yuran : RM 200.00


Sila Hubungi :- Ustaz Azrin 013-3239822 / En Idris 019 8878414 / En Ahmad 013-8438411


(Sila sms-kan nama, no kad pengenalan dan alamat ringkas kepada no diatas. Sila hubungi awal untuk pengesahan kehadiran kerana penyertaan adalah terhad)



KURSUS RAWATAN ISLAM UNTUK DIRI DAN KELUARGA ini diadakan, bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang awam tentang jenis-jenis gangguan, tanda-tanda dan cara-cara untuk menangani masalah-masalah spiritual yang berkaitan dengan gangguan jin seperti sihir, saka dan lain-lain. InsyaAllah, selepas menghadiri kursus, peserta yang berkemampuan sudah boleh menjadi perawat. Diantara perkara-perkara yang akan disampaikan ialah :

Pengenalan Alam Jin dan amalan ahli sihir
Jenis-jenis gangguan Jin dan Sihir
Tanda-tanda gangguan
Rahsia kekuatan minda manusia
Rawatan Ruqyah Syar’iyyah sebagai ikhtiar

Teknik-teknik rawatan seperti :

- Mengesan (scanning) gangguan pada pesakit
- Teknik-teknik Ruqyah
- Teknik-teknik berdialog dengan jin
- Teknik mengesan penipuan jin
- Teknik menarik bisa gangguan atau menarik jin
- Teknik memasung dan mengunci pergerakan jin
- Teknik memancung / menikam / menyerang jin
- Teknik-teknik serangan keatas jin dan ahli sihir
- Teknik memindahkan jin.
- Teknik memagar rumah / kedai / sekolah dari gangguan jin
- Teknik rawatan jarak jauh
- Teknik menyediakan air rawatan

Amalan Perlindungan Diri :
- amalan-amalan perlindungan diri warisan ulama’ silam
- rahsia zikirullah
- rahsia pernafasan untuk membenteng diri

Pengijazahan amalan


Saturday, June 5, 2010

Gangguan Jin Atau Gangguan Nafsu...?


Ada diantara pesakit yang agak agresif apabila menghubungi saya melalui telefon, bercakap dengan nada yang kasar, dan tiada tanda-tanda menghormati orang lain. Padahal mereka baru pertama kali bercakap dengan saya. Kalau dah namanya ada gangguan memang begitulah, percakapan dan tutur kata menyakiti perasaan orang lain tanpa di sedari. Asyik melihat kesalahan orang lain tanpa menghitung kesilapan diri sendiri.

Walaubagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan gangguan jin seratus peratus, Allah swt mengurniakan akal yang sempurna kepada manusia, akal jugalah yang membezakan diantara manusia dengan haiwan. Oleh itu kita perlu hitung diri sendiri adakah setiap gangguan yang terjadi adalah akibat dari gangguan jin atau gangguan nafsu diri sendiri.

Insan diamanahkan untuk mentadbir dan memakmurkan kehidupan dunia. Roh dan jasad yang saling mengenal seharusnya mengetahui batas-batas yang perlu dijaga diantara jasad dan roh. Jasad ada hak yang harus dipenuhi dan roh pula ada hak yang perlu dipenuhi.


Berbekalkan akal dan nafsu, insan seharusnya dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap keputusan dirinya sendiri. Akal itu seumpama mizan atau timbangan. Menilai dan menganalisa perkara-perkara yang baik dan yang buruk, manakala nafsu perlu dididik dan diperintah dengan hukum-hukum Allah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


Nafsu itu bangkit dari unsur-unsur jasad yakni, tanah, air, api dan angin. Secara asalnya nafsu itu bersifat dengan sifat-sifat yang merosakkan, mengajak kepada kejahatan, tidak pernah puas dan membesarkan wujud (Ego) dirinya. Melalui kupasan ulama’-ulama’ muktabar yang terdahulu, secara asasnya nafsu ini mempunyai tujuh peringkat-peringkat yang berlainan.


Setiap Insan berkemungkinan bermaqam atau turun-naik pada peringkat-peringkat nafsu tersebut.


Nafsu Ammarah adalah tahap nafsu yang paling rendah ianya sentiasa mengajak kepada kejahatan.


“sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan…” (Yusuf :53).


Mereka yang bermaqam atau bersifat dengan nafsu ammarah, hatinya tidak pernah puas. Cenderung dan menyokong kepada perbuatan maksiat, samada melalui perbuatan, kata-kata atau hati. Suka berbalah, berdebat, mencaci, mengadu-domba, membuat fitnah, bakhil, tamak, panjang angan-angan, sombong, takabbur, hasad dengki, berdendam, khianat dan banyak lagi.


Mereka inilah syaitan-syaitan yang bertopengkan manusia. Lebih bahaya lagi jika mereka ini menjual beli ayat-ayat dan hukum Allah. Mereka tahu halal dan haram, tetapi disebabkan kepentingan peribadi, mereka menukar hukum-hukum Allah tersebut mengikut hawa nafsu mereka.


Kerana itulah pentingnya penyucian hati. Mereka-mereka yang berilmu juga tidak terkecuali dari mempunyai nafsu ammarah. Ini adalah kerana ilmu yang tidak dapat merubah hati untuk tunduk kepada Allah adalah sia-sia. Seharusnya, lagi tinggi ilmu seseorang itu maka lagi tinggi adabnya.


“… Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis” (Maryam:58)


Mereka yang solat juga tidak terlepas dari kemungkinan bersifat dengan nafsu ammarah, ini adalah kerana mereka melakukan solat dengan gerak dan bacaan semata-mata tanpa mendalami ilmu solat dan menghayatinya.


Seharusnya hendaklah kita beribadat seolah-olah kita melihat Allah, jika belum dapat penghayatan yang sedemikian yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat kita. Inilah yang dinamakan dengan “Ihsan”.


Solat yang benar dapat mencegah perbuatan yang keji dan mungkar, sebaliknya solat yang lalai akan mendapat balasan neraka.


“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya” (Al-Maa’uun 4&5).


Apabila manusia yang bermaqam pada nafsu ammarah ini diberi hidayah oleh Allah s.w.t, dan ia menggunakan akal dengan sebaik-baiknya. Maka terbukalah hatinya untuk memperbaiki dirinya yang telah jauh sesat. Dengan bertaubat pada Allah, melakukan ibadat-ibadat wajib dan sunat, hati dapat dibersihkan dan nafsu ammarah tadi akan meningkat kepada "nafsu lawwamah".


Bersambung...