Monday, November 23, 2009

Kursus Kuasa Minda Untuk Menjana Tenaga Dalam


Baru-baru ini ada seorang sahabat yang meminta saya mengadakan kursus yang khusus untuknya iaitu Kursus Kuasa Minda. Sebenarnya silibus ini adalah sangat penting sebagai asas untuk kita mengaktifkan dan mempertingkatkan tenaga dalaman. Ia juga membantu meransang perkembangan deria keenam atau sixth sense.

Semasa kursus dijalankan sahabat saya itu agak kehairanan bagaimana kisah-kisah contoh yang saya berikan banyak yang ada kena mengena dengan kisah hidupnya, mungkin beliau risau saya scan dirinya… :-)

Cerita pasal scan ni, teringat saya pada satu kisah. Pernah seorang wanita menelefon saya meminta saya scan suaminya yang bermasalah. Macam-macam soalan yang ditanya mengenai suaminya. Adakah suaminya itu menyayanginya… adakah suaminya masih ingin kembali kepadanya… adakah suaminya itu ada perempuan lain… dan berbagai-bagai soalan sensitif yang tak patut saya tulis di sini...

Kadangkala saya serba-salah untuk menjawab soalan-soalan yang sebegini, kerana jika tidak kena gaya cara menjawab, mungkin nampak macam tukang tilik atau tukang tenung. Mungkin jawapan itu boleh dijadikan panduan, tetapi ianya tidak harus diterima bulat-bulat sehingga boleh mendatangkan fitnah. Kerana ada yang tidak dapat bersabar dengan pendedahan yang diberi sehingga mereka menyerang pihak ketiga.

Saya teringat kata-kata seorang ulama’ sufi yang terkenal, ibn Atha’illah ;

“Siapa yang dapat melihat rahsia-rahsia manusia padahal ia tidak meniru sifat rahmat Allah, maka pengetahuan itu menjadi bala bagi dirinya, dan sebab untuk tibanya bahaya bagi dirinya sendiri.”